Usah Mimpi Takkan Dapat

| |

KUALA LUMPUR: Usah bermimpi, memang takkan dapat!” kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam.

Itu reaksi Kevin ketika diminta mengulas mengenai ura-ura ada di antara pasukan Liga Malaysia (Liga M) mengambil mudah masalah tunggakan gaji mereka dengan hanya menunggu geran tahunan yang akan diberikan oleh badan pengendali liga untuk melunaskan hutang kepada pemain.

Menurut Kevin, dia tidak menolak kemungkinan untuk menyekat geran tahunan mana-mana pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu dan mengakui tindakan itu perlu dilakukan bagi menghentikan budaya pasukan yang sekadar mengharapkan geran tahunan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

“Kepada mereka yang menunggu geran tahunan daripada MFL untuk menyelesaikan hutang pemain, mereka boleh tunggu sampai bila-bila. Untuk pengetahuan, geran tahunan ini adalah bagi musim 2019,” kata Kevin.

“Jika kami memberikan geran tahunan ini kepada pasukan terbabit dan kemudian mereka menggunakan geran tahunan ini untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji tahun lalu, apa yang akan berlaku bagi musim 2019?

“Jadi masalah tidak akan selesai kerana kita hanya mengalami kitaran sama sahaja. Jadi perkara ini perlu dihentikan dan mereka wajib menyelesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum MFL memberikan geran tahunan bagi musim 2019 kepada mereka.”

Dalam perkembangan sama, Kevin memberitahu antara tindakan susulan yang akan diambil kepada pasukan-pasukan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji adalah pemotongan mata liga atau penyingkiran ke divisyen lebih bawah, namun ia perlu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Harus diingat, apa saja keputusan yang diambil nanti adalah keputusan semua pasukan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mewakili semua pasukan yang bertanding dalam Liga M. Ia bukan keputusan saya atau pihak sekretariat MFL.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL sudah membuktikan bahawa mereka bersedia untuk mengambil keputusan yang sukar dan saya yakin mereka akan mengambil keputusan yang tepat bagi memastikan kestabilan liga terjamin,” katanya.

Previous

Inilah Nasib Yang Menimpa Perak Walaupun Layak Kepusingan Ketiga ACL

Leave a Comment

error: Content is protected !!