TMJ berhak diberikan penghargaan atas kejayaan Harimau Malaya – Hamidin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin merasakan bekas ‘bos’ beliau iaitu Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim wajar diberikan penghargaan yang sewajarnya di atas kejayaan Harimau Malaya layak ke final Piala AFF Suzuki 2018.

Berkata melalui laman Facebook FAM, beliau mempunyai beberapa sebab untuk memberikan penghargaan sewajarnya kepada mantan Presiden FAM.

“Pertamanya, Cheng Hoe telah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih menggantikan Nelo Vingada pada Disember tahun lalu, iaitu ketika Tunku Ismail masih menjadi Presiden FAM. Ini menunjukkan kesinambungan percaturan yang dicetuskan baginda apabila ia kini sudah membuahkan hasilnya.

“Keduanya, mungkin ramai yang tidak tahu biarpun sudah hampir sembilan bulan Tunku Ismail meletak jawatan sebagai Presiden FAM, baginda merupakan individu di belakang tabir yang sentiasa bersama saya dengan memberikan pelbagai bentuk sokongan untuk meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Ketiganya, sudah tentu perjumpaan khas antara Tunku Ismail dan barisan pemain serta pegawai skuad Harimau Malaya di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada 4 November lalu, iaitu sebelum bermulanya kempen Piala Suzuki AFF 2018 seakan membawa ‘tuah’ untuk terus bersama skuad Harimau Malaya, insya-Allah sehingga pada kedua-dua aksi final pada 11 dan 15 Disember ini.” tulisnya di laman Facebook FAM.

Malah TMJ melalui akaun twitter baginda turut meraikan kejayaan Harimau Malaya layak ke saingan akhir Piala AFF Suzuki 2018 setelah mengenepikan juara bertahan, Thailand pada malam tadi.

Dalam tweet berkenaan, beliau sempat berjenaka dengan ‘mendakwa’ percaturan baginda meletakkan Tan Cheng Hoe selaku penolong dan disusuli ketua jurulatih telah membuahkan hasilnya.

Termasuk juga percaturan baginda dalam meletakkan Datuk Ong Kim Swee dan Bojan Hodak masing-masing di pasukan Malaysia B-23 dan B-19 yang telah berjaya mara ke saingan peringkat asia.

Sekaligus menepis kecaman oleh sebahagian penyokong Malaysia yang mempersoalkan percaturan baginda sewaktu menjawat jawatan Presiden FAM tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *