Tan Cheng Hoe Jelaskan Kenapa Natxo Insa Dan Corbin Ong Tidak Dipanggil

 

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mempertahankan pemilihan 26 pemain yang membawa cabaran pada saingan Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 bermula 8 November depan.

Jelasnya, semua pemain yang dipilih untuk aksi persiapan terakhir bertemu Maldives, 3 November depan sebelum mengharungi kejohanan itu menepati cita rasanya.

“Setiap jurulatih ada perancangan tersendiri, begitu juga saya apabila saya memanggil 26 pemain untuk persediaan kerana saya sudah ada bayangan pemain untuk ke Piala AFF 2018.

“Saya kira mereka pemain terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan.

“Ini bukan bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus, jadi saya harap mereka akan terus bekerja keras kerana saya sedia memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tugasan antarabangsa selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Cheng Hoe berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehilangan beberapa pemain yang menyerlah sepanjang musim ini namun tidak dipanggil menyertai skuad Piala AFF antaranya pertahanan Pahang, Muslim Ahmad, Faiz Nasir dan Ashari Shamsudin, kedua-duanya dari Terengganu FC (TFC).

Malah, sekelompok penyokong dilihat menyelar Cheng Hoe kerana langsung tidak memanggil pemain TFC meskipun mereka berjaya melayakkan diri ke final Piala Malaysia musim ini.

Mengulas lanjut persediaan pasukan menjelang kejohanan itu, Cheng Hoe mengakui keserasian dan persefahaman antara pemain masih menjadi aspek penting yang perlu diberikan perhatian.

“Aksi bertemu Maldives adalah perlawanan ujian terakhir buat saya dan pemain. Jadi saya harap dapat menemui gandingan terbaik sebelum ke Piala AFF.”

Terdahulu, Cheng Hoe memanggil 26 pemain bagi latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Maldives yang menyaksikan hanya 18 pemain daripada skuad ketika menentang Kyrgyzstan dikekalkan.

Sebagai ganti, beliau memanggil lapan pemain baharu iaitu enam dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan setiap seorang dari Perak dan Pahang.

Senarai akhir 23 pemain hanya akan diumumkan Cheng Hoe selepas perlawanan menentang Maldives sekali gus menyaksikan tiga pemain digugurkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *