Perlis Buru Khidmat Liridon Krasniqi

KANGAR 7 Jan. – Harapan besar penyokong untuk melihat bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi menyarung jersi Singa Utara dijangka menjadi kenyataan apabila Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah mengadakan rundingan dengan pemain antarabangsa Kosovo itu.

Presidennya, Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, pihaknya telah menghantar wakil bagi berjumpa Liridon dan sedang menunggu jawapan daripada pemain tengah itu.

Katanya, secara dasarnya, Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don tidak mempunyai masalah kerana beliau kini berstatus ejen bebas selepas tidak disambung kontrak oleh Kedah.

“Kita sudah cuba banyak pemain import tetapi tidak memenuhi kualiti yang kita mahu. Masa semakin suntuk sebelum pendaftaran pemain ditutup pada 20 Januari depan.

“Jadi kita pertimbangkan suara dan hasrat peminat untuk mendapatkan Mat Don dan kita juga tahu kualiti dan kemampuan pemain import itu,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Liridon, 27, yang sebelum ini dari kelab Turki, Osmanlispor, telah memberi impak besar bersama Kedah sejak menyertai pasukan itu termasuk membawa mereka muncul juara Piala Malaysia musim 2016.

Beliau disifatkan sebagai antara pemain import terbaik dalam Liga Malaysia musim sebelum ini menerusi persembahan cemerlang di bahagian tengah.

Sementara itu, Ahmad Amizal berkata, Perlis masih mencari import yang berkualiti bagi memenuhi kuota empat orang pemain.

“Masa kita semakin suntuk dan diharap kita dapat mencari pemain import yang betul-betul berkualiti,” katanya.

Perlis yang sekian lama menyepi dalam arena bola sepak negara nampaknya begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara yang pernah menjadi antara kuasa bola sepak negara.

Antara pemain bintang yang sudah mengesahkan untuk bersama Perlis bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan ialah Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; Khyril Muhymeen; Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin.

Malah baru-baru ini, Perlis juga berjaya mengikat pemain skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman bagi memperkuatkan jentera serangan Singa Utara. – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *