Perghh power laa abam ni..boleh tiru semua suara dalam cartoon doraemon tu haha..sama wehhh! 😂

(Layan video dibawah)

GEMAR melihat siri kartun Doraemon sejak kecil mendorong Mohamad Azwan Mohd Anuar, 30, meniru gaya intonasi suara lima watak dalam animasi berkenaan sejak di bangku sekolah menengah.

Penari persembahan Sunway Lagoon itu berkata, dia mula berlatih meniru gaya intonasi suara watak dalam animasi terbabit dengan menggunakan satu perkataan sehingga menjadi satu ayat.

“Setiap kali tengok kartun Doraemon, saya akan dengar dan cuba tiru satu perkataan demi perkataan sampai akhirnya kawan-kawan kata suara saya sama dengan apa yang ditiru.

“Setiap jenis suara watak dalam Doraemon saya akan kaji terlebih dulu untuk memudahkan saya meniru gaya suara mereka.

“Setakat ini, saya boleh meniru gaya suara Suneo, Nobita, Doraemon, Shizuka dan Giant. Tetapi suara Shizuka dan Giant paling susah hendak ditiru dan masih perlu diperbaiki lagi,” katanya.

Menurutnya, setiap hari dia berlatih meniru gaya suara daripada episod yang diminati menerusi YouTube ketika menikmati makanan.

“Selain meniru suara mereka, saya juga boleh menyanyikan lagu tema Doraemon kerana memang minat karaoke menerusi aplikasi Smule.

“Dalam banyak video Smule yang dirakam, rakaman lagu tema Doraemon sambil meniru gaya suara watak dalam kartun itu secara spontan paling mendapat perhatian dan sambutan positif,” katanya yang memberitahu rakaman video dilakukan pada awal bulan lalu itu mendapat tontonan hampir setengah juta dan 10,000 perkongsian di Facebook (FB) peribadinya.

Selain itu, katanya, dia juga berbakat meniru suara beberapa watak dalam siri kartun Upin Ipin, artis dan selebriti tempatan seperti Datuk Jamal Abdillah, Imran Ajmain, Nassier Wahab, Sajat, beberapa artis Indonesia dan Bollywood.

“Dalam Upin Ipin, saya hanya mampu meniru suara watak Abang Salleh saja kerana lebih mudah memandangkan suara saya agak garau.

“Saya memang suka menyanyi dan berlakon. Mungkin latar belakang pekerjaan saya juga mempengaruhi jiwa saya untuk menghiburkan orang lain,” katanya.

Azwan berkata, selepas mendapat perhatian di laman sosial kerana menghasilkan video Doraemon dan Sajat, kenalan serta pengikut di laman sosial FB miliknya bertambah daripada 1,000 kepada 8,000 orang.

“Tak sangka dengan cara macam ini pun boleh buat orang terhibur termasuk ibu bapa dan kanak-kanak. Ramai orang memberikan sokongan dan memberi pelbagai cadangan kepada saya.

“Insya-Allah, jika ada peluang dan rezeki, saya ingin kembangkan bakat ini kerana meminati dunia hiburan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *