Pahang Tak Terasa Hati

| |

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala FA, Pahang tidak terkilan sekiranya bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi tidak memilih skuad Tok Gajah untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain itu yang sebelum ini dikatakan hampir pasti menyertai Pahang, mencetuskan tanda tanya selepas dia memuat naik gambarnya bersama pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial, Instastory miliknya semalam.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya tidak boleh menghalang keputusan daripada pemain itu walaupun mengakui pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan pemain kelahiran Kosovo itu sebelum ini.

“Walaupun ada perbincangan secara lisan, terpulang kepada pemain itu. Kalau dia buat keputusan untuk bermain dengan kelab lain, kami tak boleh buat apa-apa sebab itu pilihan pemain.

“Kalau dia sudah rasmi menyertai kelab lain, mungkin peminat tidak lagi menaruh harapan dan kita doakan supaya dia berjaya,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, di sini, hari ini.

“Tugas kami adalah untuk melihat ke depan dan mencari pemain setanding dia atau lebih baik lagi. Malah, saya juga percaya dengan taktikal dan pengalaman jurulatih Dollah Salleh dalam membuat pilihan pemain.”

Sekiranya pemain berusia 27 tahun itu sah menyertai JDT, dia mungkin akan disenaraikan dalam skuad JDT II selepas juara Liga Super itu sebelum ini mengesahkan sudah melengkapkan kuota lima pemain import.

Malah, pemain yang lebih dikenali sebagai Mat Don itu juga mempunyai peluang cerah untuk diserap sebagai pemain naturalisasi kedua negara sekiranya dia melengkapkan lima tahun berkasi di Liga M, selepas empat musim bersama Kedah.

Sementara itu, Dollah berkata beliau sudah mempunyai beberapa calon pemain import lain untuk dijadikan taruhan buat skuad Tok Gajah musim ini.

“Anda pun dah tahu, media semalam dah siar, kita dapat tahu bahawa Mat Don akan pergi ke JDT, itu yang saya tahu setakat ini. Kita bukan tiada calon, kita masih ada lagi beberapa pemain dalam perhatian.

“Cuma kita ada agak lewat kerana berdepan beberapa kekangan termasuk daripada segi menguruskan visa pemain. Tapi kita sedang berusaha untuk selesaikan secepat mungkin dan pastikan sebelum bermula liga, kita dapat pemain itu,” katanya.

Previous

(Highlight Penuh) Terengganu Jinakkan Kelab Vietnam Binh Duong 3-2

Pemain Perlis Terpaksa Kerja Nelayan

Next

Leave a Comment

error: Content is protected !!