Kanser Elyana Kini Mula Merebak

 

 

 

SUAMI Elyana iaitu Khairul Anuar Hussin mengesahkan penyanyi dan pelakon itu perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 kali berikutan sel kanser kelenjar yang dihidapi sejak tujuh tahun lalu sudah merebak ke saraf tunjang.

Khairul ketika dihubungi berkata, isterinya yang kini dirawat di pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor itu perlu segera menjalani prosedur itu bagi mengelakkan lumpuh.

“Minggu lalu Elyana mengadu sakit dan kebas di kaki hingga tidak boleh berjalan. Saya sudah bawa dia pergi berurut dan ambil ubat tahan sakit, tetapi keadaan langsung tidak berkurang.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk bawa ke hospital Isnin lalu. Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan sel kanser sudah merebak ke saraf tunjang dan tulang belakang.

 

“Doktor menyarankan segera melakukan radioterapi selama 10 kali bermula 5 petang ini. Kalau tidak buat sebarang rawatan Elyana akan lumpuh,” katanya kepada Harian Metro.

Khairul juga menjelaskan, selepas selesai sesi radioterapi, Elyana, 31, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal perlu melakukan rawatan kimoterapi.

“Semalaman Elyana menangis sambil menahan kesakitan selepas mendengar saranan doktor sampai tak tidur. Namun, selepas baca mesej orang ramai yang mendoakan kesihatannya dan memberi kata-kata semangat, Elyana kembali tenang.

“Kalau di tengok Instagram memang nampak dia kuat. Sebaliknya, tiada siapa tahu apa yang bermain di fikirannya. Saya mengharapkan peminat dan orang ramai mendoakan dia dan cakap perkara positif.

“Mana yang mengeji dan menghamburkan kata-kata negatif, saya mohon hentikan,” katanya.

Sementara itu, Elyana menerusi Instagram Story berkongsi rasa gembira kerana dirinya menjadi inspirasi kepada pesakit kronik lain.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat dan orang ramai yang mesej dengan beri doa dan kata-kata semangat di Instagram.

“Walaupun saya tak dapat balas satu persatu, tapi saya baca semua. Malah ada juga pesakit kronik lain yang mesej kata saya beri mereka semangat. Sebenarnya saya tak sedar selama ini beri orang semangat Alhamdulillah saya gembira sangat.

“Saya fikir dalam saya sakit pun secara tak langsung masih beri manfaat kepada orang lain. Jadi bukan saja masa sihat tetapi juga ketika sakit. Saya harap mereka juga boleh sembuh dan diberi kekuatan untuk harungi sakit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *