Jangan Ugut FAM

| |

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian tidak membenarkan Terengganu City FC (TCFC) beraksi dalam saingan Liga Perdana 2019 berikutan wujud kebimbangan kemungkinan masalah tunggakan gaji akan terus berulang pada musim ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan pihaknya berbuat demikian selepas mengambil kira kegagalan kelab terbabit menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai TCFC yang sehingga kini sudah mencecah RM977,100.

Justeru, Stuart berkata, FAM akan menggunakan hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan wang deposit penyertaan TCFC yang dibekukan sebelum ini untuk menyelesaikan sebahagian hutang terbabit.

“Berdasarkan perkiraan dibuat, seramai 23 pemain dan pegawai akan mendapat wang tunggakan gaji berkenaan secara rata yang akan dibayar oleh FAM terus kepada pemain dan pegawai terbabit.

“Namun, TCFC tidak boleh terus bersikap lepas tangan dan masih tetap perlu menjelaskan baki hutang kepada pemain dan pegawai terbabit jika mereka tidak mahu menerima implikasi lebih besar selepas ini.

“Perlu diingatkan, apabila PBSNT dan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus menarik balik lesen kebenaran terhadap TCFC itu, maka FAM secara tidak langsung tidak lagi mengiktiraf TCFC sebagai sebuah kelab yang diberikan kebenaran untuk bertanding,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Berikutan itu, Stuart membidas kenyataan dibuat Pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar menerusi media berhubung isu tunggakan gaji pemain kelab berkenaan yang sehingga kini sudah mencecah RM977,100.

Sebelum ini, M Rezal menerusi kenyataan media yang disiarkan pada 21 dan 22 Januari 2019 menyebut TCFC akan menjelaskan semua hutang (tunggakan gaji) hanya jika FAM membenarkan mereka beraksi di Liga Perdana 2019 dengan alasan kelab berkenaan layak secara merit selepas muncul juara Piala FAM pada 6 September 2018.

Bagaimanapun, Stuart berkata berdasarkan rekod sebelum ini, TCFC sudah beberapa kali mungkir janji untuk menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya biarpun ia sudah tercatat secara hitam putih.

“Justeru, diharap TCFC tidak terus menuding jari kepada pihak lain dan menetapkan pula syarat yang perlu dituruti FAM, sebaliknya mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan baki hutang sedia ada itu mengikut tarikh telah ditetapkan iaitu sebelum atau pada 19 Februari 2019.

“Tiada siapa perlu disalahkan dalam hal ini selain daripada TCFC kerana jika mereka berusaha menyelesaikan tunggakan hutang yang ada ketika itu sebelum atau pada 29 September 2018, sudah tentu TCFC sudah boleh beraksi pada Liga Perdana 2019,” katanya.

Previous

PENDEDAHAN TMJ DISEBALIK PEMBELIAN MAURICIO, AARON DAN DIOGO LUIS SANTO

Giliran Faris Ramli Angkat Kaki Dari Perlis FA

Next

Leave a Comment

error: Content is protected !!