Inilah 3 Pemain Import Yang Bakal Naturalisasi

| |

KUALA LUMPUR: Hanya tiga pemain asing disifatkan berpotensi untuk menjadi ‘Harimau Import’ dan bakal dipertimbangkan secara serius oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat masa ini.

Tiga pemain terbabit ialah pemain tengah Melaka United, Liridon Krasniqi; penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula dan penyerang UKM FC, Michael Ijezie yang dilihat memenuhi kriteria bagi proses jangka pendek program naturalisasi badan induk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagaimanapun menjelaskan, cadangan itu bukan bermakna mereka akan terus menyarung jersi pasukan kebangsaan secara automatik memandangkan banyak lagi perlu diteliti.

“Ini baru cadangan di mana kita melihat pemain berpotensi namun kita juga mengambil kira faktor lain khususnya prestasi yang menjadi kriteria utama untuk kita ambil sebagai pemain naturalisasi.

“Kita akan sentiasa memantau prestasi mereka. Langkah selepas ini adalah kita akan meminta pengurusan mereka mengemukakan dokumen berkaitan bagi permohonan menjadi kerakyatan.

“Ini kerana tempoh lima tahun itu adalah untuk bermain di bawah peruntukan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun mereka masih perlu mengemukakan permohonan menjadi rakyat Malaysia terlebih dulu sebelum boleh bermain,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Sabtu lalu, badan induk itu meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan menerusi tiga peringkat iaitu jangka pendek, jangka pertengahan dan juga jangka panjang.

Proses jangka pendek adalah membabitkan pemain berdarah campuran dan pemain asing yang sudah bermain dalam liga bola sepak tempatan dan menetap sekurang-kurangnya lima tahun di negara ini.

Proses jangka pertengahan itu membabitkan pemain asing berusia 18 tahun ke atas dan sudah bermain dalam saingan bola sepak untuk satu atau dua tahun dan meyakinkan mereka untuk menetap di sini selama lima tahun.

Proses jangka panjang pula membabitkan pemain asing yang masih berada di peringkat remaja iaitu di bawah usia 18 tahun namun cadangan terbabit perlu diperhalusi oleh panel teknikal yang akan ditubuhkan.

Previous

Faiz Nasir Banyak Lagi Dia Kena Belajar

Hamidin Tarik Diri

Next

Leave a Comment

error: Content is protected !!