Hafizul Hakim Tekad Kecewakan JDT

Hafizul Hakim Tekad Kecewakan JDT

IPOH: Penjaga gol pasukan Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sudah bersedia untuk menjadi penghalang kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada merangkul Piala Sumbangsih, Sabtu ini.

Hafizul Hakim berkata, dia bersama rakan sepasukan sudah bersedia menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan yang turut menjadi aksi pembuka tirai Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.

Menurutnya, walaupun beraksi di gelanggang lawan, dia dan rakan sepasukan akan cuba sedaya mungkin untuk menampilkan aksi bertenaga seperti ditampilkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Sebagai benteng terakhir pasukan, saya akan cuba untuk berinteraksi dengan baik dengan barisan pertahanan, saya lihat tidak banyak masalah kerana kebanyakan pemain adalah sama seperti musim lalu.

“Setakat ini persiapan kami berjalan lancar dengan latihan yang rapi di bawah pemantauan barisan kejurulatihan,” katanya yang akan bertolak ke Johor Bahru bersama pasukan esok.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk sekali lagi menjadi wira seperti perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, Hafizul berkata, semua pemain adalah wira pasukan kerana persefahaman yang baik akan memberikan kelebihan kepada pasukan.

Katanya, dia akan mengikut segala perancangan diberikan jurulatih dan posisinya sebagai penjaga gawang amat memerlukannya untuk mempunyai persefahaman yang tinggi dengan barisan pertahanan.

Menurutnya, walaupun JDT mempunyai barisan serangan yang mantap serta berbisa, dia yakin barisan pertahanan diketuai ketua pasukan, Shahrul Saad dan pemain import baru, Zack Anderson mampu menangkis setiap asakan Harimau Selatan.

Leave a Comment

error: Content is protected !!