Aksi Memukau Apek Untuk Debut Pertama Bersama Melaka United

Perak terlepas peluang untuk semakin merapatkan jurang mata dengan pendahulu unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas terikat tanpa jaringan menentang Melaka United di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Beraksi di padang basah akibat hujan yang turun beberapa minit sebelum perlawanan bermula mengakibatkan aksi kedua-dua pasukan sedikit terjejas.

Aksi di 20 minit pertama memperlihatkan bola hanya berlegar-legar di tengah padang tanpa sebarang percubaan berbahaya dilancarkan.

Berselang lima minit kemudian, corak permainan berubah apabila Perak memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan selepas hantaran lintang rendah dari Rafiuddin Roddin dari sebelah kiri pintu gol Melaka disambar oleh Nor Hakim Hassan.

Namun begitu, percubaan yang dilakukan pemain sayap kiri skuad ‘Yob’ itu berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi buat pertama kali bersama Melaka United.

Melaka United yang kini dibimbing E.Elavarasan turut mengancam kubu Perak dengan percubaan dari jarak jauh dilakukan S. Sivanesan hanya melewati palang gol.

Nor Hakim sekali lagi memperolehi peluang terbaik selepas berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan tetapi rembatannya hanya meliar untuk mengecewakan penyokong tuan rumah.

Dua lagi percubaan daripada R. Gopinathan dan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-35 dan 43 turut menemui jalan buntu untuk aksi babak pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Khairul Fahmi bertindak cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan yang dicipta Perak sebaik sahaja aksi di separuh masa kedua bermula.

Tandukan cantik yang dilakukan oleh Leandro Dos Santos Oliveira berpunca dari sepakan sudut pada minit ke-64 juga turut dinafikan kecekapan penjaga gol berusia 29 tahun itu.

Gerakan menarik dari Melaka United pada minit ke-73 hampir menjerat pertahanan tuan rumah.

Bagaimanapun hantaran lintang yang dilakukan Yahor Zubovich gagal dibaca S. Chanturu yang berada betul-betul dihadapan gawang Perak.

Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Bin Wan Ibrahim.

 

Kredit : Semuanyabola

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *