Syamer, Azam taruhan terbaik skuad B-23

syamer dan azamGandingan Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih dilihat sebagai taruhan terbaik untuk mengemudi bahagian tengah skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bagi mengharungi saingan getir Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bermula Rabu depan.

Kelibat dua pemain ini mula mendapat perhatian ketika membantu skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Syamer, 20, dilihat memiliki kelebihan dari segi fizikal untuk bertahan dan memenangi bola manakala Azam,23, diakui mempunyai kemahiran teknikal, hantaran baik serta visi ketika mencipta serangan.

Bagi Syamer, dia percaya kombinasinya bersama Azam bertambah baik namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi pembukaan Kumpulan C menentang juara edisi 2013, Iraq kemudian Jordan dan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, permainan saya semakin baik dengan Azam tapi tak selamat lagi tempat dalam kesebelasan utama. Saya masih kena berusaha merebut tempat, semua pemain yang ada sudah bersedia.

“Saya harap dapat kekalkan tempat dalam kesebelasan utama dan beraksi lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain Syamer yang bakal mewakili Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim depan serta tonggak Pahang, Azam, Kim Swee memiliki Daniel Amier Norshisham (FELDA United) dan Nik Akhif Syahiran Nik Mat (Kelantan) untuk menggerakkan jentera tengah.

Skuad negara yang dibarisi 23 pemain bertolak ke Changshu pagi tadi dari Nanjing selepas aksi persahabatan dengan Syria B-23 semalam dibatalkan akibat cuaca sejuk melampau.

Bagi Syamer yang menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Mokpo City FC dalam salah satu daripada tiga aksi persahabatan di Korea Selatan bulan lalu berasa agak kecewa dengan pembatalan perlawanan itu.

“Kecewa juga sebab ini medan terbaik untuk kami uji apa yang kami belajar selama ini. Syria juga dari negara Arab, kami boleh uji taktikal dan apa yang kami belajar. Tapi Alhamdulilah kami ada tiga perlawanan persahabatan di Korea sebelum ini sekurang-kurangnya untuk kami bersedia,” katanya.

Sumber: Berita Harian