Jangan Taasub Dengan Pemain Kacukan

Penyerang berpengalaman Safee Sali berharap status pemain kacukan bukan tiket automatik untuk seseorang pemain itu menyarung jersi kebangsaan.

Dia berkata, pemilihan pemain seharusnya dinilai daripada prestasi dan bukan kerana pemain itu berdarah campuran semata-mata.

“Pemain bola sepak bukan ikut darah campuran atau tidak, tapi kemampuan pemain itu membentuk kombinasi yang baik dalam pasukan lebih utama.

“Jika pemain kacukan itu mampu memberikan perubahan kepada pasukan kebangsaan, itu bagus tapi kalau sekadar ingin mendapatkan hak kerakyatan dan tiada kesungguhan untuk mewakili negara pada saya ia hanya sia-sia. Lebih baik peluang itu diberikan kepada pemain tempatan, ada ramai lagi yang bagus,” katanya.

Lambakan pemain kacukan yang kini membanjiri Liga Malaysia dijangka akan mencetuskan angin perubahan baru dalam skuad kebangsaan.

Ketika ini terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang mempunyai pertalian darah di negara ini diberikan hak kerakyatan dan boleh dipanggil pada bila-bila masa oleh jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe. Antaranya La-Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Curran Ferns dan Daniel Ting.

Ketika ini hanya Matthew Davies (14 kap), Darren Lok (9), Brendan Gan (8), Kiko Insa (6), Khair Jones (4) pernah mewakili skuad Harimau Malaya.

Menurut Safee yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak ketika membantu negara menjulang trofi Piala AFF 2010, kebanyakan pemain kacukan yang dimiliki negara ketika ini memiliki kemampuan lebih kurang sama dengan pemain tempatan.

“Pada saya, hanya dua-tiga pemain kacukan yang dilihat memiliki kualiti lebih baik berbanding pemain tempatan dan yang lain saya fikir lebih kurang sama saja.

“Kita tak boleh terlalu taasub dengan pemain kacukan, jika mereka benar bagus, tiada masalah untuk menyertai skuad kebangsaan. Kita boleh lihat, Indonesia, Singapura yang memiliki pemain naturalisasi tapi belum lagi boleh pergi jauh. Sedangkan Thailand yang lebih ramai pemain tempatan nampak lebih bagus,” kata Kapten PKNS FC itu.

Sumber: Berita Harian

Live Streaming: Korea Selatan vs Malaysia, Piala Asia B23

Petang ini akan berlangsungnya perlawanan suku akhir Piala Asia B23 diantara Korea Selatan dan Malaysia. Ini adalah kali pertama Malaysia melangkah ke peringkat suku akhir dalam kejohanan ini. Kami ucapkan selamat berjaya kepada jurulatih dan juga pemain.

Selamat menonton streaming perlawanan ini melalui link dibawah ini:

Moga Malaysia dapat membuat satu lagi kejutan.

Iraq Lega Lepasi Halangan Pertama

iraq legaJurulatih Iraq, Abdul Ghani Shahad mengakui kemenangan selesa 4-1 ke atas Malaysia dalam aksi Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Stadium Changshu, China hari ini tidak menggambarkan situasi sebenar di tengah padang.

Beliau terkejut dengan saingan yang diterima dan jaringan besar itu banyak dibantu oleh kesilapan pemain negara sendiri.

“Ini perlawanan pertama dan ia bukan mudah kerana Malaysia pasukan yang bagus. Mungkin keputusan tidak seperti ini jika bukan kerana kesilapan pemain Malaysia.

“Apa pun secara keseluruhan, kami berjaya dalam perlawanan ini dan misi mendapat tiga mata berjaya. Malah tiada pemain yang mendapat kad dan cedera,” katanya pada sidang media selepas perlawanan hari ini.

Kemenangan yang diraih Iraq seperti menepati status mereka selaku juara edisi pertama 2013 dan pemenang tempat ketiga dua tahun lalu.

Ghani berkata, mereka perlu memperbaiki prestasi khususnya di benteng pertahanan sebelum aksi kedua menentang Arab Saudi, Sabtu ini.

“Kami tidak beraksi dengan baik pada separuh masa kedua tapi setiap perlawanan pasti berbeza. Kami akan melakukan perubahan bagi perlawanan kedua,” jelasnya.

Sumber: Berita Harian

Safawi Akui Lambat Panas

safawi rasid malaysia iraqPenyerang negara Safawi Rasid mengakui mereka lambat panas apabila kecundang 1-4 di tangan bekas juara Iraq pada aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China hari ini.

Safawi, 20, menyumbat gol tunggal negara selepas ketinggalan 0-3 dalam perlawanan itu menerusi rembatan leret pada minit ke-79 menewaskan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil.

Dia menganggap selain kesilapan sendiri pemain yang menghadiahkan gol kepada pasukan juara 2013 itu, mereka beraksi kurang yakin pada awal permainan.

“Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol tapi agak kecewa kerana tak dapat bantu meraih kemenangan. Kami banyak juga menyerang dan bertahan agak baik cuma tiga gol adalah kesilapan pemain sendiri dan kami akan cuba perbaiki.

“Tak ada beza (dengan Iraq) cuma kesilapan kami sendiri. Kami lambat dapat keyakinan kerana itu kami lepaskan gol mudah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Safawi bergandingan dengan Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan namun mereka agak sukar untuk menembusi pertahanan Iraq yang lebih selesa beraksi dalam cuaca sejuk dengan suhu sekitar 3 Celsius.

Kekalahan itu belum menutup peluang anak buah Datuk Ong Kim Swee namun perlu mencatat keputusan lebih baik dalam baki perlawanan Kumpulan C menentang Jordan, Sabtu ini dan Arab Saudi, Selasa depan.

“Mungkin ramai (peminat) tengok kami banyak kekurangan tapi kami akan cuba lebih fokus untuk perlawanan seterusnya. Bagi saya sendiri, saya akan cuba sedaya upaya membantu skuad negara,” kata Safawi.

Sumber: Berita Harian

Iraq Enggan Ambil Mudah Cabaran Malaysia

PASUKAN pilihan Iraq membawa perkhabaran buruk buat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menjelang pertembungan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China, Rabu ini apabila jurulatihnya, Abdul Ghani Shahad menyatakan akan menurunkan skuad terbaiknya dalam misi mengulangi kejayaan muncul juara edisi pertama 2013 di Oman.

“Tak ada masalah, semua pemain dalam keadaan terbaik tanpa masalah kecederaan. Kami selalu mahu menjadi juara, tapi kami perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami bukan hanya perlu memikirkan tentang Malaysia, malah Jordan dan Arab Saudi,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan, di sini, hari ini.

Iraq hadir dengan reputasi hebat selepas muncul juara pada tahun 2013 menewaskan Arab Saudi 1-0 pada final di Oman dan menduduki tempat ketiga pada edisi 2016 di Qatar.

Anak buah Abdul Ghani juga hanya kalah sekali dalam sembilan perlawanan tahun lalu, 1-0 di tangan Qatar dalam aksi persahabatan pada Disember dan menang kesemua tiga perlawanan dalam pusingan kelayakan mengalahkan Afghanistan 8-0, Bahrain 2-1 dan Arab Saudi 2-0.

Iraq juga turut menewaskan satu lagi pasukan pencabar Kumpulan C di kejohanan kali ini, Jordan 1-0 dalam aksi persahabatan Julai lalu.

Walaupun yakin dengan kemampuan anak buahnya yang dilihat tidak berdepan masalah dengan cuaca sejuk, Abdul Ghani, yang pernah membimbing kelab Naft Al-Wasat muncul juara Liga Premier Iraq 2014/2015 tetap tidak mahu mengambil mudah cabaran Malaysia.

“Kami hanya melakukan persiapan biasa dengan mengadakan satu perlawanan sebelum datang ke sini. Kami ada maklumat tentang Malaysia, saya berharap kami dapat mengenal pasti sistem untuk menentang Malaysia.

“Bagi saya semua perlawanan sama, setiap pasukan ada peluang yang sama, kami bersedia untuk semua pasukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syamer, Azam taruhan terbaik skuad B-23

syamer dan azamGandingan Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih dilihat sebagai taruhan terbaik untuk mengemudi bahagian tengah skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bagi mengharungi saingan getir Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bermula Rabu depan.

Kelibat dua pemain ini mula mendapat perhatian ketika membantu skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Syamer, 20, dilihat memiliki kelebihan dari segi fizikal untuk bertahan dan memenangi bola manakala Azam,23, diakui mempunyai kemahiran teknikal, hantaran baik serta visi ketika mencipta serangan.

Bagi Syamer, dia percaya kombinasinya bersama Azam bertambah baik namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi pembukaan Kumpulan C menentang juara edisi 2013, Iraq kemudian Jordan dan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, permainan saya semakin baik dengan Azam tapi tak selamat lagi tempat dalam kesebelasan utama. Saya masih kena berusaha merebut tempat, semua pemain yang ada sudah bersedia.

“Saya harap dapat kekalkan tempat dalam kesebelasan utama dan beraksi lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain Syamer yang bakal mewakili Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim depan serta tonggak Pahang, Azam, Kim Swee memiliki Daniel Amier Norshisham (FELDA United) dan Nik Akhif Syahiran Nik Mat (Kelantan) untuk menggerakkan jentera tengah.

Skuad negara yang dibarisi 23 pemain bertolak ke Changshu pagi tadi dari Nanjing selepas aksi persahabatan dengan Syria B-23 semalam dibatalkan akibat cuaca sejuk melampau.

Bagi Syamer yang menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Mokpo City FC dalam salah satu daripada tiga aksi persahabatan di Korea Selatan bulan lalu berasa agak kecewa dengan pembatalan perlawanan itu.

“Kecewa juga sebab ini medan terbaik untuk kami uji apa yang kami belajar selama ini. Syria juga dari negara Arab, kami boleh uji taktikal dan apa yang kami belajar. Tapi Alhamdulilah kami ada tiga perlawanan persahabatan di Korea sebelum ini sekurang-kurangnya untuk kami bersedia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tan Cheng Hoe Ambil Alih Harimau Malaya?

Tan Cheng Hoe ambil alihSiapakah yang bakal menggambil alih tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya kembali menjadi persoalan selepas jurulatih Nelo Vingada mengambil keputusan meletakkan jawatan hari ini.

Selain Vingada dua lagi pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho (penolong jurulatih) dan Francisco Jose Bruto Da Costa (jurulatih kecergasan) turut ‘angkat kaki’ selepas tidak sampai tujuh bulan bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun seorang lagi penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe masih kekal bersama pasukan sekali gus mencetuskan kemungkinan bekas pengendali Kedah itu bakal diberikan tugas itu sekurang-kurangnya sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menemui pengganti baru.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka masih belum membuat keputusan mengenai jurulatih baru itu namun memberi jaminan ia akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.

“Tentang pengganti, kita akan umumkan nanti secepat yang boleh, jadi kita kena tunggu buat sementara waktu. Memandangkan tugasan skuad kebangsaan pada bulan Mac depan untuk habiskan baki pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala AFF pada November, jadi kita ada sedikit masa untuk maklumkan jurulatih baru.

“Calon luar atau tempatan, biar Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) buat keputusan dan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Vingada yang digelar ‘The Professor’ dilantik secara rasmi pada 15 Mei tahun ini dan terus mengetuai pasukan menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia.

Hanya satu keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong di kelayakan Piala Asia 2019 menjadi mata tunggal diraih Vingada sepanjang tujuh perlawanan bersama skuad kebangsaan.

Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan di Buriram, Thailand awal bulan lalu menjadi keputusan paling buruk dicatatkan Vingada sekali gus menyaksikan anak buahnya gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.

Keputusan buruk itu mendorong bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan itu meletakkan jawatan hari ini.

Sumber: Berita Harian

Syafiq Ahmad Pasrah Digugurkan Dari Skuad Malaysia B23

Syafiq ahmad digugurkanSyafiq Ahmad sudah menyiapkan kelengkapan untuk berangkat ke Kuala Lumpur bagi melaporkan diri ke kem latihan skuad Bawah 23 Tahun negara apabila menerima berita di luar dugaan yang dia digugurkan daripada pasukan itu.

Menurut Syafiq, keputusan dibuat Datuk Ong Kim Swee itu agak memeranjatkan kerana sebelum ini jurulatih berkenaan bersetuju memberi cuti kepadanya sehingga hari ini (6 Disember) bagi menguruskan perkahwinannya.

Malah, Syafiq yang baru mendirikan rumah tangga dengan Nor Amalina Norain pada 23 November lalu berkata, dia mematuhi semua arahan diberikan Kim Swee dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat permohonan cuti itu.

“Selepas majlis perkahwinan di pihak pengantin perempuan pada 26 November lalu, saya ada menghubungi jurulatih untuk memohon cuti kerana mahu menguruskan majlis di pihak saya pula pada 3 Disember lalu.

“Pada awalnya, saya meminta sehingga 10 Disember tapi beliau berkata ia terlalu lama. Beliau memberi saya cuti sehingga 6 Disember dan mahu saya melaporkan diri pada 7 Disember.

“Malah, saya juga telah menulis surat memohon cuti secara rasmi daripada FAM seperti diminta seorang pegawai badan bola sepak itu. Tiba-tiba dapat surat kata saya digugurkan,” ujar Syafiq yang turut menangkis dakwaan dia menghilangkan diri selepas majlis perkahwinannya.

Penyerang muda Kedah itu tidak menafikan dia kecewa kerana tidak dapat bersama skuad negara ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, di China bulan depan selepas turut sama memerah keringat membantu skuad itu layak ke sana.

“Memang menjadi impian saya untuk beraksi di kejohanan itu kerana sudah terbabit bersama skuad B-23 sejak awal. Saya tidak sangka digugurkan kerana saya tidak melanggar sebarang disiplin atau peraturan.

“Jika mereka meminta saya melaporkan diri lebih awal, sudah pasti saya berbuat begitu kerana saya memang ingin bersama skuad ke China.

“Apapun saya terima pengguguran ini dengan hati terbuka, mungkin bukan rezeki saya serta ada hikmah di sebaliknya,” kata Syafiq.

Sementara itu Kim Swee menjelaskan tindakannya menggugurkan Syafiq adalah demi kebaikan pasukan serta pemain itu sendiri.

“Kami sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan terbaik, kami perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk dia dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syafiq Ahmad Digugurkan Ke Piala AFC B-23

Syafiq ahmad malaysia b23Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad digugurkan daripada skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan ke China, selepas gagal melaporkan diri ke kem latihan pusat bagi menghadapi  Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018, Januari depan.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee berkata pengguguran Syafiq itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor demi kebaikan pasukan selain memberi peluang kepada pemain berusia 22 tahun itu menguruskan hal perkahwinannya.

“Saya membuat keputusan membenarkan Syafiq menguruskan segala perancangan beliau yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan tidak akan memanggil beliau untuk kejohanan kali ini. Kita akan kekal dengan 29 pemain yang bersama pasukan sekarang.

“Keputusan ini dibuat demi kebaikan pasukan dan juga pemain. Kita sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan baik, kita perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk beliau dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Tidak ada ruang bagi pemain tidak berdisplin - Ong Kim Swee

Kim Swee berkata demikian kepada pemberita pada sesi latihan pusat skuad B-22 yang sudah memasuki fasa kedua latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Kim Swee berkata ketiadaan Syafiq Ahmad merupakan satu kehilangan besar bagi pasukan, namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan menjelang kejohanan yang julung kali disertai skuad B-22 negara itu.

Menurut Kim Swee, beberapa pemain sedia ada termasuk dua penyerang skuad Bawah 19 Tahun (B-19), Sean Eugene Selvaraj dan Hadi Fayyadh Abdul Razak memiliki potensi besar untuk menggalas tanggungjawab sebagai penggempur di bahagian serangan.

“Kita mempunyai Sean, Hadi dan ramai lagi yang boleh bermain di posisi yang sama dan ketiadaan Syafiq memang merupakan satu kehilangan, tetapi ia membuka peluang kepada pemain-pemain muda yang sudah bersama kita dan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui masih belum mempunyai bayangan pemain yang akan dibawa ke China dan hanya akan membuat keputusan selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

“Sekarang, peluang masih samar-samar untuk kesemua pemain jadi saya hanya akan menggugurkan tiga pemain sebelum berlepas ke Korea Selatan dan ketika di sana, hanya 23 pemain sahaja yang akan ke China,” katanya.

Skuad B-22 negara dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang PJ Rangers pada Sabtu ini, diikuti Melaka United 14 Dis sebelum berlepas ke Korea Selatan pada 17 Dis. – Bernama

Sumber: Sinar Harian