Safawi Akui Lambat Panas

safawi rasid malaysia iraqPenyerang negara Safawi Rasid mengakui mereka lambat panas apabila kecundang 1-4 di tangan bekas juara Iraq pada aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China hari ini.

Safawi, 20, menyumbat gol tunggal negara selepas ketinggalan 0-3 dalam perlawanan itu menerusi rembatan leret pada minit ke-79 menewaskan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil.

Dia menganggap selain kesilapan sendiri pemain yang menghadiahkan gol kepada pasukan juara 2013 itu, mereka beraksi kurang yakin pada awal permainan.

“Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol tapi agak kecewa kerana tak dapat bantu meraih kemenangan. Kami banyak juga menyerang dan bertahan agak baik cuma tiga gol adalah kesilapan pemain sendiri dan kami akan cuba perbaiki.

“Tak ada beza (dengan Iraq) cuma kesilapan kami sendiri. Kami lambat dapat keyakinan kerana itu kami lepaskan gol mudah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Safawi bergandingan dengan Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan namun mereka agak sukar untuk menembusi pertahanan Iraq yang lebih selesa beraksi dalam cuaca sejuk dengan suhu sekitar 3 Celsius.

Kekalahan itu belum menutup peluang anak buah Datuk Ong Kim Swee namun perlu mencatat keputusan lebih baik dalam baki perlawanan Kumpulan C menentang Jordan, Sabtu ini dan Arab Saudi, Selasa depan.

“Mungkin ramai (peminat) tengok kami banyak kekurangan tapi kami akan cuba lebih fokus untuk perlawanan seterusnya. Bagi saya sendiri, saya akan cuba sedaya upaya membantu skuad negara,” kata Safawi.

Sumber: Berita Harian

Iraq Enggan Ambil Mudah Cabaran Malaysia

PASUKAN pilihan Iraq membawa perkhabaran buruk buat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menjelang pertembungan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China, Rabu ini apabila jurulatihnya, Abdul Ghani Shahad menyatakan akan menurunkan skuad terbaiknya dalam misi mengulangi kejayaan muncul juara edisi pertama 2013 di Oman.

“Tak ada masalah, semua pemain dalam keadaan terbaik tanpa masalah kecederaan. Kami selalu mahu menjadi juara, tapi kami perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami bukan hanya perlu memikirkan tentang Malaysia, malah Jordan dan Arab Saudi,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan, di sini, hari ini.

Iraq hadir dengan reputasi hebat selepas muncul juara pada tahun 2013 menewaskan Arab Saudi 1-0 pada final di Oman dan menduduki tempat ketiga pada edisi 2016 di Qatar.

Anak buah Abdul Ghani juga hanya kalah sekali dalam sembilan perlawanan tahun lalu, 1-0 di tangan Qatar dalam aksi persahabatan pada Disember dan menang kesemua tiga perlawanan dalam pusingan kelayakan mengalahkan Afghanistan 8-0, Bahrain 2-1 dan Arab Saudi 2-0.

Iraq juga turut menewaskan satu lagi pasukan pencabar Kumpulan C di kejohanan kali ini, Jordan 1-0 dalam aksi persahabatan Julai lalu.

Walaupun yakin dengan kemampuan anak buahnya yang dilihat tidak berdepan masalah dengan cuaca sejuk, Abdul Ghani, yang pernah membimbing kelab Naft Al-Wasat muncul juara Liga Premier Iraq 2014/2015 tetap tidak mahu mengambil mudah cabaran Malaysia.

“Kami hanya melakukan persiapan biasa dengan mengadakan satu perlawanan sebelum datang ke sini. Kami ada maklumat tentang Malaysia, saya berharap kami dapat mengenal pasti sistem untuk menentang Malaysia.

“Bagi saya semua perlawanan sama, setiap pasukan ada peluang yang sama, kami bersedia untuk semua pasukan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syamer, Azam taruhan terbaik skuad B-23

syamer dan azamGandingan Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih dilihat sebagai taruhan terbaik untuk mengemudi bahagian tengah skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bagi mengharungi saingan getir Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bermula Rabu depan.

Kelibat dua pemain ini mula mendapat perhatian ketika membantu skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Syamer, 20, dilihat memiliki kelebihan dari segi fizikal untuk bertahan dan memenangi bola manakala Azam,23, diakui mempunyai kemahiran teknikal, hantaran baik serta visi ketika mencipta serangan.

Bagi Syamer, dia percaya kombinasinya bersama Azam bertambah baik namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi pembukaan Kumpulan C menentang juara edisi 2013, Iraq kemudian Jordan dan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, permainan saya semakin baik dengan Azam tapi tak selamat lagi tempat dalam kesebelasan utama. Saya masih kena berusaha merebut tempat, semua pemain yang ada sudah bersedia.

“Saya harap dapat kekalkan tempat dalam kesebelasan utama dan beraksi lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain Syamer yang bakal mewakili Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim depan serta tonggak Pahang, Azam, Kim Swee memiliki Daniel Amier Norshisham (FELDA United) dan Nik Akhif Syahiran Nik Mat (Kelantan) untuk menggerakkan jentera tengah.

Skuad negara yang dibarisi 23 pemain bertolak ke Changshu pagi tadi dari Nanjing selepas aksi persahabatan dengan Syria B-23 semalam dibatalkan akibat cuaca sejuk melampau.

Bagi Syamer yang menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Mokpo City FC dalam salah satu daripada tiga aksi persahabatan di Korea Selatan bulan lalu berasa agak kecewa dengan pembatalan perlawanan itu.

“Kecewa juga sebab ini medan terbaik untuk kami uji apa yang kami belajar selama ini. Syria juga dari negara Arab, kami boleh uji taktikal dan apa yang kami belajar. Tapi Alhamdulilah kami ada tiga perlawanan persahabatan di Korea sebelum ini sekurang-kurangnya untuk kami bersedia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syafiq Ahmad Pasrah Digugurkan Dari Skuad Malaysia B23

Syafiq ahmad digugurkanSyafiq Ahmad sudah menyiapkan kelengkapan untuk berangkat ke Kuala Lumpur bagi melaporkan diri ke kem latihan skuad Bawah 23 Tahun negara apabila menerima berita di luar dugaan yang dia digugurkan daripada pasukan itu.

Menurut Syafiq, keputusan dibuat Datuk Ong Kim Swee itu agak memeranjatkan kerana sebelum ini jurulatih berkenaan bersetuju memberi cuti kepadanya sehingga hari ini (6 Disember) bagi menguruskan perkahwinannya.

Malah, Syafiq yang baru mendirikan rumah tangga dengan Nor Amalina Norain pada 23 November lalu berkata, dia mematuhi semua arahan diberikan Kim Swee dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat permohonan cuti itu.

“Selepas majlis perkahwinan di pihak pengantin perempuan pada 26 November lalu, saya ada menghubungi jurulatih untuk memohon cuti kerana mahu menguruskan majlis di pihak saya pula pada 3 Disember lalu.

“Pada awalnya, saya meminta sehingga 10 Disember tapi beliau berkata ia terlalu lama. Beliau memberi saya cuti sehingga 6 Disember dan mahu saya melaporkan diri pada 7 Disember.

“Malah, saya juga telah menulis surat memohon cuti secara rasmi daripada FAM seperti diminta seorang pegawai badan bola sepak itu. Tiba-tiba dapat surat kata saya digugurkan,” ujar Syafiq yang turut menangkis dakwaan dia menghilangkan diri selepas majlis perkahwinannya.

Penyerang muda Kedah itu tidak menafikan dia kecewa kerana tidak dapat bersama skuad negara ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, di China bulan depan selepas turut sama memerah keringat membantu skuad itu layak ke sana.

“Memang menjadi impian saya untuk beraksi di kejohanan itu kerana sudah terbabit bersama skuad B-23 sejak awal. Saya tidak sangka digugurkan kerana saya tidak melanggar sebarang disiplin atau peraturan.

“Jika mereka meminta saya melaporkan diri lebih awal, sudah pasti saya berbuat begitu kerana saya memang ingin bersama skuad ke China.

“Apapun saya terima pengguguran ini dengan hati terbuka, mungkin bukan rezeki saya serta ada hikmah di sebaliknya,” kata Syafiq.

Sementara itu Kim Swee menjelaskan tindakannya menggugurkan Syafiq adalah demi kebaikan pasukan serta pemain itu sendiri.

“Kami sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan terbaik, kami perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk dia dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syafiq Ahmad Digugurkan Ke Piala AFC B-23

Syafiq ahmad malaysia b23Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad digugurkan daripada skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan ke China, selepas gagal melaporkan diri ke kem latihan pusat bagi menghadapi  Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018, Januari depan.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee berkata pengguguran Syafiq itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor demi kebaikan pasukan selain memberi peluang kepada pemain berusia 22 tahun itu menguruskan hal perkahwinannya.

“Saya membuat keputusan membenarkan Syafiq menguruskan segala perancangan beliau yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan tidak akan memanggil beliau untuk kejohanan kali ini. Kita akan kekal dengan 29 pemain yang bersama pasukan sekarang.

“Keputusan ini dibuat demi kebaikan pasukan dan juga pemain. Kita sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan baik, kita perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk beliau dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Tidak ada ruang bagi pemain tidak berdisplin - Ong Kim Swee

Kim Swee berkata demikian kepada pemberita pada sesi latihan pusat skuad B-22 yang sudah memasuki fasa kedua latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Kim Swee berkata ketiadaan Syafiq Ahmad merupakan satu kehilangan besar bagi pasukan, namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan menjelang kejohanan yang julung kali disertai skuad B-22 negara itu.

Menurut Kim Swee, beberapa pemain sedia ada termasuk dua penyerang skuad Bawah 19 Tahun (B-19), Sean Eugene Selvaraj dan Hadi Fayyadh Abdul Razak memiliki potensi besar untuk menggalas tanggungjawab sebagai penggempur di bahagian serangan.

“Kita mempunyai Sean, Hadi dan ramai lagi yang boleh bermain di posisi yang sama dan ketiadaan Syafiq memang merupakan satu kehilangan, tetapi ia membuka peluang kepada pemain-pemain muda yang sudah bersama kita dan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui masih belum mempunyai bayangan pemain yang akan dibawa ke China dan hanya akan membuat keputusan selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

“Sekarang, peluang masih samar-samar untuk kesemua pemain jadi saya hanya akan menggugurkan tiga pemain sebelum berlepas ke Korea Selatan dan ketika di sana, hanya 23 pemain sahaja yang akan ke China,” katanya.

Skuad B-22 negara dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang PJ Rangers pada Sabtu ini, diikuti Melaka United 14 Dis sebelum berlepas ke Korea Selatan pada 17 Dis. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Hanya Syafiq Ahmad Belum Lapor Diri

syafiq ahmad belum lapor diriPengendali Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan hanya bekas penyerang Kedah, Syafiq Ahmad yang masih belum melaporkan diri di kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia di sini, menjelang Kejohanan Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Jiangsu, China, tahun depan.

Tambah Kim Swee, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pemain itu yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan di Pulau Pinang, semalam, malah menegaskan belum memutuskan sebarang tindakan disiplin terhadap Syafiq.

“Sehingga hari ini, 29 pemain telah melaporkan diri termasuk Matt (Matthew Davies). Hanya Syafiq masih lagi belum melaporkan diri dan saya masih menunggu maklum balas daripadanya tentang situasinya selepas dia melangsungkan perkahwinan semalam.

“Sepatutnya dia menghubungi FAM kerana sebelum ini dikatakan dia tidak akan berbulan madu tetapi selepas perkahwinan tiada sebarang berita lagi daripadanya. Saya belum memikirkan tentang apa tindakan tetapi jika cuti berpanjangan, saya percaya pemain-pemain yang berada di sini telah berlatih dengan begitu lama.

“Untuk mengembalikan kecergasannya dalam masa singkat mungkin agar sukar dan ia terpulang kepada situasi nanti. Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan sebelum memutuskan apakah tindakan selanjutnya. Kalau mengikut jadual dia harus melaporkan diri secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi latihan yang telah memasuki fasa kedua di sini hari ini.

Dalam kejohanan itu, Malaysia yang diletak dalam Kumpulan C bakal memulakan kempen menentang juara 2013, Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) .

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Melaka itu menegaskan, sesi latihan berjalan dengan lancar dan senarai nama pemain yang bakal dibawa ke Korea Selatan akan diumumkan selepas perlawanan persahabatan menentang Melaka United 14 Disember nanti.

“Sebelum itu, perlawanan menentang PJ Rangers (9 Disember)merupakan ujian pertama dan mereka harus mengambil kesempatan untuk membuktikan sama ada mereka mampu bersama pasukan ini dengan corak permainan yang saya mahukan.

“Saya akan menilai permainan mereka sebelum memutuskan siapa yang akan dibawa ke Korea Selatan selepas perlawanan menentang Melaka United,” jelasnya

Sementara itu, Syafiq mengesahkan dia akan melaporkan diri di kem negara pada 8 Disember ini selepas menyelesaikan segala urusan majlis perkahwinannya.

“Saya akan kembali melaporkan diri bersama skuad negara pada 8 Disember ini,” katanya.

Sumber: Utusan

Haziq Nadzli mahu pikat semula keyakinan Kim Swee

Haziq NadzliPenjaga gol skuad Bawah 22 (B-22) negara Haziq Nadzli menganggap latihan bagi menghadapi Kejohanan B-23 AFC 2018 adalah peluang terbaik untuknya membuktikan dia sudah pulih daripada kejutan selepas membuat kesilapan yang menyebabkan Malaysia terlepas pi­ngat emas Sukan SEA.

Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA menentang Thailand pada Ogos lalu, Haziq Nadzli tertumbuk bola ke gawang sendiri dan jaringan itu menghadiahkan pasukan lawan kemenangan.

Bagaimanapun, keyakinan jurulatih skuad B-22 negara Datuk Ong Kim Swee kepada penjaga gol berusia 19 tahun itu nampaknya tidak terjejas di­sebabkan kesilapan itu apabila masih memberi kepercayaan kepadanya untuk menyertai kem latihan persediaan ke kejohanan yang akan berlangsung di China itu Januari depan.

Haziq berkata, apa yang berlaku dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur itu sudah lama dilupakannya dan sekarang dia hanya mahu fokus terhadap latihan dan meyakinkan Kim Swee bahawa posisi penjaga gawang No.1 skuad itu masih layak di­sandangnya.

“Secara peribadi, per­­­siapan saya semakin teratur cuma saya perlu memastikan ta­hap saya berada di kedudukan tertinggi. Peluang yang saya dapat selepas ini saya perlu lakukan yang terbaik.

“Saya tidak mahu mengulangi kesilapan saya semasa Sukan SEA 2017. Bagi saya apa yang sudah berlaku itu biarkan. Tutup buku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Haziq perlu berebut tempat bersama tiga lagi penjaga gol yang turut dipanggil oleh Kim Swee dalam sesi latihan kali ini. Mereka adalah Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan) dan Amierul Hakimi Awang (Terengganu).

“Kami perlu bersaing secara sihat dan kami perlu membuktikan kelebihan masing-masing,” katanya.

Sumber: Utusan

Tidak ada ruang bagi pemain tidak berdisplin – Ong Kim Swee

Tidak ada ruang bagi pemain tidak berdisplin - Ong Kim SweeJurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee akan menggunakan baki enam minggu sebelum bermulanya Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC di China bagi memastikan pemainnya dalam keadaan terbaik bagi pasukannya.

Selepas 27 pemain yang dipanggil ke dalam skuad hadir dengan pelbagai peringkat kecergasan, Kim Swee berkata ia memerlukan lebih kurang seminggu bagi semua orang untuk mencapai tahap optimum.

Hanya tiga pemain yang masih belum melapor diri dalam kem latihan berikutan beberapa alasan dan Kim Swee menegaskan bahawa beliau tidak akan mengambil ringan masalah disiplin dalam merencana strategi permainan pada kejohanan itu.

Malaysia akan bertemu Iraq, Jordan serta Arab Saudi dalam Kumpulan C pada 10-16 Januari ini dan Ong Kim Swee mahu pemainnya bersedia berdepan semua cabaran.

“Semua bahagian perlu bekerja. Saya tidak katakan kepada penjaga gol sahaja, pertahanan, pemain tengah atau penyerang.

Perkara paling penting adalah apabila kami ke China, kami mempunyai 23 pemain yang sanggup bekerja keras,” kata Kim Swee di Wisma FAM, hari ini.

“Anda boleh mempunyai teknik yang sangat bagus tetapi jika anda tidak bekeja keras dan berdisiplin, memang tidak ada peluang. 23 pemain yang dipilih mestilah bagus dalam semua perkara, terutama sekali disiplin di dalam dan luar padang.

“Saya berharap pemain akan mengambil ini sebagai cabaran dan membuktikan kemampuan mereka dan dengan semangat dan disiplin, kemudian kita akan dapat keputusan.”

Kim Swee sudah mempunyai perancangan untuk memastikan pemainnya kekal cergas menjelang perlawanan persahabatan pertama menentang Petaling Jaya Rangers pada 9 Disember ini dengan memecahkan pemain kepada dua kumpulan.

“Ini baru hari kedua kami bersama dan untuk menilai pemain, saya perlukan sekurang-kurangnya seminggu dan selepas perlawanan persahabatan,” kata Kim Swee yang membawa pasukan itu memenangi pingat perak Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sumber: Berita Harian

Syafiq Ahmad Lupakan Bulan Madu Demi Malaysia

Syafiq ahmad malaysia b23Penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad terpaksa melupakan perancangan bulan madu sebaliknya akan kembali memberi tumpuan kepada latihan bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang bakal menghadapi Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, di China, pada 9- 27 Januari depan.

Syafiq, 22, yang baru mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya, Nor Amalina Norain, 22, pada 23 November lalu berkata, dia akan melaporkan diri ke kem latihan kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 7 Disember ini.

“Buat masa ini saya perlu tangguhkan niat hendak berbulan madu. Datuk Ong (Kim Swee) pun sudah menelefon saya semalam bertanya bila saya nak lapor diri.

“Saya minta cuti seminggu lagi kerana majlis perkahwinan di sebelah pihak saya di Sungai Ara, Pulau Pinang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Beliau beri saya cuti sehingga 6 Disember.

“Maknanya, pada 7 Disember saya kena lapor diri serta kembali fokus kepada latihan. Saya perlu tolak tepi semua hal berkaitan peribadi termasuk soal berbulan madu,” kata Syafiq.

Menurut Syafiq, sebagai salah seorang pemain yang memerah keringat membantu skuad negara layak ke kejohanan itu, dia tidak mahu namanya tercicir dari senarai akhir pemain yang akan beraksi di China kelak.

Malah, kalau boleh dia mahu bertindak sebagai penggempur utama bagi menghadapi Iraq, Jordan dan Arab Saudi yang akan menjadi lawan Malaysia dalam Kumpulan C nanti.

Namun, Syafiq Ahmad sedar ia bukan tugas mudah kerana selain terpaksa bersaing dengan pemain sedia ada seperti Jafri Firdaus Chew, N Thanabalan dan Safawi Rasid, kehadiran empat pemain skuad B-19 yang diserapkan oleh Kim Swee turut perlu diperhatikan.

Kelibat pemain seperti Hadi Fayyad Abdul Razak, 17, tonggak yang membawa Malaysia layak ke Piala Asia B-19 di Indonesia tahun depan dianggap menjadi saingan utama kepada pemain lebih senior seperti Syafiq.

Mengenai tanggungjawabnya yang bertambah sebagai suami pada usia muda, Syafiq menganggap keputusan yang diambil untuk berkahwin amat bertepatan dengan masanya.

“Saya tidak menganggap perkahwinan ini sebagai sesuatu yang membebankan sebaliknya menjadi pendorong untuk lebih maju.

“Lagipun kami sudah lama saling mengenali dan memang merancang untuk mengakhiri hubungan ini dengan perkahwinan.

“Saya yakin, selepas bergelar suami, saya akan menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab serta dapat memberi fokus kepada karier sebagai pemain bola sepak,” ujar Syafiq.

Sumber: Berita Harian

error: Content is protected !!