PPBN Akan Diteruskan

Hasil Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) bakal disaksikan tahun ini, tetapi inisiatif pembangunan akar umbi yang disokong kerajaan itu perlu diteruskan walau apa saja pencapaian yang akan diraih pemain peringkat pertama.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemain generasi pertama PPBN menetapkan sasaran mara ke separuh akhir Kejohanan AFC Bawah-16 tahun (B-16) pada September ini dan layak ke Piala Dunia B-17 tahun depan.

Namun, walaupun sasaran itu tidak dipenuhi, Khairy menegaskan program itu harus dikembangakn dengan 23,000 pemain sedang berlatih di seluruh negara.

“Ia program jangka panjang tetapi salah satu objektif ditetapkan PPBN adalah generasi pertama layak ke Piala Dunia B-17 tahun depan,” kata Khairy, di sini, hari ini.

“Ia bergantung kepada prestasi kami tahun ini, kami melihatnya sebagai satu pencapaian penting bagi kami, tetapi apa saja yang berlaku, saya percaya PPBN perlu diteruskan.

“Kami tidak boleh menghukum seluruh program hanya berdasarkan kejohanan AFC. Sasaran kami untuk layak, ia pasti, tetapi PPBN adalah program jangka panjang.

“Kami mahu ke sana tahun ini, kami berusaha keras untuk ke sana tetapi program mesti diteruskan. Kami mempunyai empat generasi di bawah PPBN.”

Khairy berkata, pembabitan sektor swasta akan membantu kerajaan membiayai beberapa kos untuk menguruskan PPBN dengan BDB Land muncul untuk menyokong sembilan pusat latihan di Kedah.

“Saya harap lebih banyak syarikat akan melangkah ke hadapan untuk memastikan kemampanan program,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani penajaan antara Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darul Bhd, Datuk Izham Yusof dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Untuk mengembangkan bilangan pusat latihan memerlukan lebih banyak dana tetapi ia hanya boleh dilakukan dengan pelaburan daripada sektor swasta.”

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *