Malaysia B23 Layak Berada Dalam Kategori A

DATUK Ong Kim Swee menegaskan kejayaan pasukan kendaliannya mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun sudah cukup untuk mereka melepasi syarat berada dalam kategori A ke Sukan Asia Jakarta dan Palembang, Ogos depan.

Walaupun menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan, namun jurulatih itu berpendapat, anak buahnya layak mendapat pengiktirafan berkenaan.

“Ini tertakluk kepada peraturan MOM dan melihat situasi sekarang, sudah tentu ini satu keputusan yang cukup baik apabila kita layak ke suku akhir.

“Saya percaya kejayaan ini mampu menjadi salah satu sebab di mana kita layak pergi secara merit, bukan dalam kategori tertentu,” katanya ketika ditemui selepas sidang media praperlawanan Malaysia dengan Korea Selatan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memberi justifikasi kukuh berdasarkan prestasi semasa dan ranking pasukan itu di peringkat Asia jika mahu merebut slot kategori A ke Sukan Asia tahun ini.

Sekiranya sesuatu sukan diletakkan dalam kategori A, semua kos untuk menyertai temasya sukan itu akan ditanggung MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN), manakala bagi kategori B, persatuan sukan perlu menanggung kos sendiri dan boleh menuntut semula jika berjaya meraih pingat.

Kim Swee bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu memberi tekanan kepada mana-mana pihak.

“Apa yang penting kita dapat beraksi tanpa sebarang masalah dan saya tidak ingin meletakkan situasi memaksa MOM. Ini terpulang kepada mereka, hak di tangan mereka tetapi keputusan yang ditunjukkan pasukan B-23, biar mereka nilai,” katanya.

Skuad negara akan menentang Korea Selatan di suku akhir hari ini, selepas muncul naib juara Kumpulan C.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *