Kim Swee Harap Adam Pulih

Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee masih berharap kapten dan tonggak pertahanan tengah, Adam Nor Azlin akan kembali di tahap terbaik untuk beraksi menentang Jordan dalam aksi Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 esok selepas mengalami demam.

Adam demam sebelum kempen Kumpulan C bermula kelmarin namun tetap bersemangat beraksi ketika tumpas 1-4 di tangan Iraq di Stadium Changshu.

Bagaimanapun Kim Swee melihat ada perkembangan positif dengan situasi itu dan turut memantau tahap kecederaan penyerang N Thanabalan yang dilanda hamstring pada perlawanan pertama.

“Thanabalan masih ditimpa masalah kecederaan manakala Adam bertambah baik dan kita harus lihat perkembangan Thanabalan, kedudukan Adam bersama pasukan terpulang kepada sesi latihan hari ini. Kita lihat bagaimana prestasinya nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Jika Adam dan Thanabalan tidak sempat pulih, kemungkinan Adib Zainuddin dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid akan mengisi kekosongan itu.

Anak buah Kim Swee berdepan misi hidup mati untuk layak ke suku akhir selepas kecundang 1-4 kepada Iraq dalam aksi pertama.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu kekal optimis dengan menganggap peluang mereka masih lagi terbuka.

“Kita pun mempunyai peluang yang sama di mana kita tidak boleh tewas. Pada masa sama, kita harus tahu Iraq, Arab Saudi dan Jordan adalah pasukan pilihan dengan memiliki kekuatan seimbang.

“Kita harus menggandakan fokus dan pelajari (kesilapan) daripada apa kita lalui dengan pasukan Iraq,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *