KBS Akan Bantu Malaysia B23 Ke Sukan Olimpik 2020

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi sokongan penuh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan skuad bawah 23 tahun (B-23) layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selepas prestasi baik diraih skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada Kejohanan AFC B-23 di China, baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Korea Selatan di suku akhir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju bahawa sasaran layak ke Tokyo adalah realistik.

Khairy berkata beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim awal minggu ini.

“Saya sudah berbincang dengan Presiden FAM dan kita akan lihat bagaimana kita boleh menyumbang sokongan, contohnya menerusi sains sukan,” kata Khairy selepas majlis menandatangani penajaan antara Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) dan Kumpulan Bina Darulaman Bhd.

“Kejayaan skuad B-23 ini bukan hanya untuk Kim Swee tetapi juga buat pengurusan baharu FAM. Hasil daripada persediaan dan perancangan terbaik.

“Anda boleh mengatakan bahawa permainan barisan pemain ini sudah lama dikembangkan tetapi persediaan dan pendedahan di peringkat akhir sangat penting. Saya fikir ada satu perubahan sebenar.”

Kim Swee meminta supaya perancangan untuk layak ke Olimpik Tokyo diletakkan sekarang dengan memberi keutamaan kepada skuad B-21.

“Peningkatan yang ditunjukkan skuad B-19 di bawah kendalian Bojan Hodak dan PPBN akan muncul, saya tidak kata masa depan yang hebat tetapi ada harapan tinggi,” kata Khairy.

“Perkara ini tidak boleh dilihat dalam konteks membangunkan pasukan kebangsaan sahaja. Anda perlu melihat kepada seluruh ekosistem.

“Liga semakin baik. Apabila mempunyai pasukan teratas yang menaikkan tahap bola sepak kita, sudah tentu pemain akan menjadi lebih baik.

“Banyak pemain B-23 bermain untuk kelab teratas dan mereka sudah membuktikan yang mereka boleh lakukannya di peringkat tertinggi.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *