Harimau Malaya : Zaquan Yakin Dengan Rakan Sepasukan

Ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak berkata sekiranya skuad negara dapat mengulangi permainan sewaktu menentang Lubnan tempoh hari, skuad negara mampu menewaskan Bhutan lapor Berita Harian!

Dalam perlawanan menentang Lubnan pada pertengahan minggu lalu, anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menyekat skuad Lubnan daripada mencatat kemenangan mudah ke atas mereka.

Skuad bimbingan Cheng Hoe terpaksa akur dengan kekuatan lawan yang berjaya mencuri jaringan kemenangan pada lewat permainan.

“Kami menanam mentaliti untuk menang sebelum bertemu Lubnan, jadi itulah yang membuatkan semangat pemain tinggi namun tuah tidak menyebelahi kami. Kami akan teruskan momentum ini dan memperbaiki lagi kelemahan yang ada.

“Saya percaya jika kami mengekalkan prestasi sama ketika menentang Lubnan, tidak mustahil kami meraih kemenangan ke atas Bhutan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah penyerang Kuala Lumpur ini lagi, beliau memuji rakan sepasukan beliau yang berjaya mencipta keserasian antara mereka dengan pantas walaupun berdepan kekangan masa.

Pada Jumaat lepas, seramai sembilan pemain baru di bawa masuk Cheng Hoe untuk menggantikan seramai 14 orang pemain atas sebab penggiliran pemain.

Skuad negara yang berada di tangga 178 dunia kini memburu kemenangan ke atas Bhutan yang menduduki tangga ke 188 untuk sedikit sebanyak memperbaiki kedudukan ranking.

Lebih lebih lagi, ‘Harimau Malaya’ memburu kemenangan pertama dalam perlawanan antarabangsa sejak memperolehinya ketika menumpaskan Kemboja 3-2 dalam saingan Piala AFF 2016.

“Walaupun hanya sempat berlatih dua hari, pemain berjaya menyesuaikan diri dan memberi tentangan kepada Lubnan.

“Sebenarnya, tidak mudah berlatih dalam masa singkat dan kemudiannya bertemu lawan yang sukar di tempat mereka. Jadi, saya sanjung semangat perjuangan rakan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *