Harimau Malaya : Shahrul Saad Puji Irfan Zakaria

Tindakan Tan Cheng Hoe menggunakan kombinasi di bahagian pertahanan ternyata sedikit berkesan apabila gandingan Shahrul Saad dan Irfan Zakaria berjaya membentuk pertahanan ampuh.

Pemain Perak, Shahrul Saad memberitahu Berita Harian yang beliau begitu kagum dengan corak permainan yang di tampilkan pasangannya, Irfan Zakaria sejak pertahanan Kuala Lumpur itu beraksi di Piala Asia B23 lagi.

Shahrul mengakui beliau dan Irfan mempunyai keserasian untuk beraksi bersama walaupun mereka berdua baru pertama kali di gandingkan dalam peringkat antarabangsa.

“Saya bangga dengan cara Irfan bermain, bukan saja ketika menentang Lubnan tetapi ketika Kejuaraan Bawah 23 AFC,” kata Shahrul.

“Mudah untuk berkomunikasi dengannya dan saya rasa kami serasi bersama.

“Kami mampu bermain sebagai satu pasukan walaupun jarang beraksi bersama, kami membantu satu sama lain di atas padang. Penting untuk memberikan komitmen penuh di atas padang dan itulah yang semua pemain lakukan.”

Dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut tempoh hari, anak buah Cheng Hoe cemerlang mengekang Lubnan daripada mudah merobek gawang mereka.

Shahrul juga mengharapkan rakan sepasukan mampu mengulangi corak permainan sama dan menyasarkan kemenangan ke atas Bhutan dalam usaha untuk memperbaiki ranking skuad negara.

“Kami perlu menang ke atas Bhutan dan mengekalkan tahap permainan yang ditunjukkan ketika menentang Lubnan,” kata Shahrul yang mengumpul kap ke-13 ketika di Beirut.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berkata persembahan pasukan ketika di Beirut meningkatkan keyakinan pemain.

“Cara kami bermain menentang Lubnan memberi keyakinan baharu buat kami untuk menang ke atas Bhutan,” kata penjaga gol Kelantan itu.

“Kami kini perlu memastikan yang momentum itu dibawa ke perlawanan seterusnya, menurut arahan jurulatih dan memberikan harapan baharu kepada penyokong.”

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *