Harimau Malaya : Cheng Hoe Guna Pemain Sedia Ada

Skuad negara akan mengekalkan barisan pemain yang beraksi pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan bagi pertemuan persahabatan menentang pasukan Bhutan.

Memberitahu Berita Harian, ketua jurulatih ‘Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kekurangan masa membentuk skuad baru. Lebih lebih lagi, para pemain sudah menunjukkan satu kualiti permainan yang bagus dalam perlawanan lalu.

Barisan pemain yang tidak beraksi dalam aksi dengan Lubnan berkemungkinan akan di turunkan oleh Cheng Hoe dalam pertemuan kali ini.

“Setakat ini, kita berdepan kekangan masa yang singkat untuk aksi bertemu Bhutan jadi saya tidak akan memanggil mana-mana pemain memandangkan barisan kejurulatihan berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

“Kita juga perlu memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi menentang Lubnan dan berkemungkinan mereka akan diturunkan untuk perlawanan bertemu Bhutan. Tetapi kita perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai tahap kecergasan dan kecederaan setiap pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Walaupun baru pulang dari Lubnan, tetapi kita tidak akan berehat kerana esok (hari ini) kita akan kembali menjalani latihan ringan memandangkan aksi persahabatan ini adalah begitu penting,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas mengenai prestasi skuad negara, Cheng Hoe berkata beliau sangat berpuas hati dengan permainan yang di pamerkan barisan anak buahnya ketika ini.

Aksi bertemu Bhutan yang berada di tangga 188 ini penting bagi ‘Harimau Malaya’ untuk memperbaiki ranking mereka.

“Corak permainan menunjukkan perkembangan yang positif dan saya melihat keyakinan pemain juga kian meningkat. Jadi saya mengharapkan mereka dapat terus memberikan persembahan yang konsisten bukan sahaja untuk aksi menentang Bhutan tetapi untuk aksi antarabangsa yang seterusnya.

“Bagaimanapun, harus diingat bahawa kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Bhutan dan kita perlu bekerja keras untuk aksi persahabatan ini,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *