Cheng Hoe Hanya Mahukan Kemenangan

Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe berkata tugas menjaringkan bukan sekadar terletak di bahu barisan serangan, sebaliknya pemain pemain lain juga wajar mengambil peluang ketika bertemu Bhutan hari ini.

Memberitahu Berita Harian, Cheng Hoe mahu barisan pemainnya untuk sentiasa tenang di atas padang dan tidak menyerang sehingga terlupa kepada aspek bertahan. Situasi yang berlaku ketika bertemu Mongolia telah di jadikan iktibar oleh beliau.

Jentera skuad negara di ketuai oleh ketua pasukan, Zaquan Adha dan pemain tersebut sedaya upaya untuk cuba merobek gawang Lubnan tempoh hari namun gagal.

“Sandaran menjaringkan gol tidak boleh diletakkan kepada penyerang semata-mata, barisan tengah juga perlu mencari peluang.

“Tidak cukup dengan hanya menguasai permainan kerana kami perlu menang. Kami tahu Bhutan akan bertahan habis-habisan, jadi kami perlu sabar apabila menyerang.

“Dalam bola sepak moden kita tidak boleh terlalu ghairah menyerang kerana kita mungkin terperangkap dengan serangan balas. Ini yang kita pelajari ketika menentang Mongolia,” katanya.

Tambah beliau lagi, beliau mengingatkan anak buahnya untuk tidak mengambil mudah cabaran yang di berikan Bhutan biarpun sedar pasukan tersebut berada di tangga 188 dunia.

Cheng Hoe tidak mahu terlalu memikirkan tentang memburu kemenangan besar sebaliknya beliau mahu ‘Harimau Malaya’ mencatat kemenangan. Skuad negara memburu kemenangan pertama sejak peringkat kumpulan Piala AFF 2016.

“Apa yang penting kita harapkan kemenangan. Bukan kemenangan besar kerana setiap perlawanan adalah berbeza. Jadi, saya harap pemain tidak memandang mudah terhadap kemampuan Bhutan.

“Kita dahagakan kemenangan kerana sudah lama kita tidak menang dalam perlawanan di peringkat antarabangsa. Saya harap pemain boleh teruskan momentum seperti ditunjukkan ketika berdepan Lubnan tempohari,” kata Cheng Hoe.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *