Cari Punca Kegagalan, Bukan Pecat Vingada – Kamaruddin Abdullah

Kamaruddin Abdullah

Kamaruddin AbdullahPersatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu membazir wang lagi untuk memecat Nelo Vingada dan mencari jurulatih baharu susulan prestasi buruk melanda Harimau Malaya menurut Kamaruddin Abdullah.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan, Kamaruddin Abdullah menyifatkan badan induk berkenaan tidak perlu terlalu tunduk dengan desakan beberapa pihak yang mahukan jurulatih kelahiran Portugal itu dipecat selepas skuad kebangsaan tersingkir dari saingan kelayakan Piala Asia 2019.

Katanya, FAM sendiri perlu mencari jalan penyelesaian mengenai punca kegagalan skuad Harimau Malaya terutama dari segi penjadualan tempoh kem latihan pusat dan bukan hanya meletakkan 100 peratus kegagalan di bahu Vingada.

“Saya tidak setuju sekiranya Vingada dipecat sekarang. Tidak patut jika setiap tahun kita mahu pecat jurulatih. Bagi saya FAM juga kena bertanggungjawab kerana sudah tiga jurulatih (termasuk Dollah Salleh dan Datuk Ong Kim Swee) membimbing pasukan tapi keputusan hanya lebih kurang.

“FAM perlu kaji semula terutama dari segi tempoh kem latihan pasukan, sebab Vingada juga pernah mengeluh sebelum ini tidak cukup masa untuk mempersiapkan pasukan.

“Jadi, saya fikir FAM tidak boleh silap langkah lagi (dengan memecat Vingada) kerana perkara itu juga akan membabitkan jumlah perbelanjaan yang cukup besar dan hanya membazir wang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak dua tahun lalu, pelbagai desakan diterima FAM supaya memecat Dollah kerana prestasi buruk skuad kebangsaan dan bekas jurulatih Selangor itu akhirnya bertindak meletak jawatan selepas Harimau Malaya dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Selepas itu, Kim Swee pula dilantik pengganti Dollah di kerusi panas itu dan desakan sama turut diterima FAM termasuk meminta badan induk itu melantik jurulatih luar negara membimbing Harimau Malaya.

Selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui tampuk kepemimpinan baharu FAM pada 25 Mac lalu, Kim Swee akhirnya diturunkan pangkat membimbing skuad bawah 22 tahun dan Vingada dilantik jurulatih baharu Harimau Malaya, Mei lalu dengan harapan dapat membawa sesuatu yang lebih positif dalam skuad kebangsaan.

Namun, Vingada yang menerima jolokan ‘The Professor’ dilihat masih bergelut untuk membina skuad ampuh selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya.

Selain itu, Kamaruddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM menyifatkan Vingada harus diberi tempoh membimbing Harimau Malaya hingga saingan Piala AFF Suzuki hujung tahun depan sebelum FAM memutuskan masa depannya.

“Bagi peluang Vingada setahun lagi dan jadikan Piala AFF Suzuki sebagai penanda aras untuk menunjukkan kemampuan dan jika gagal juga, baru dipecat.

“Enam bulan membimbing Harimau Malaya dan dalam tempoh itu, mungkin beberapa minggu saja Vingada bersama pasukan dan pemain. Jadi saya fikir, beri masa dulu, kecuali jika Vingada sendiri yang mahu berundur,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *