AFC B23 : Kim Swee Puji Anak Buah

Ketua jurulatih Malaysia B23, Datuk Ong Kim Swee memuji persembahan anak buahnya ketika tewas 1-2 menentang Korea Selatan dalam aksi suku akhir AFC B23 petang semalam.

Bagi Kim Swee, permainan yang di pamerkan para pemainnya lebih baik daripada ketika menentang Arab Saudi pada Selasa lalu di mana skuad negara menang dalam aksi tersebut.

Kim Swee juga mengakui pemainnya tidak mudah panik biarpun ketinggalan seawal 15 saat permainan bermula menerusi Cho Jae Wan. Skuad negara terus mengasak lawan selepas itu.

“Keseluruhan pemain sudah melakukan yang terbaik tapi Korea Selatan tetap pasukan bagus. Mereka tidak panik bila kita menyamakan kedudukan sebelum menghukum kita di penghujung permainan.

“Gol awal itu berpunca kesilapan pemain yang tidak memberi sepenuh tumpuan. Saya harap pemain dapat belajar daripada kekalahan ini. Secara keseluruhan kita bermain baik berbanding ketika menentang Arab Saudi di mana kita mengawal permainan pada babak pertama.

“Namun, malangnya apabila menyamakan kedudukan, pemain gagal meneruskan penguasaan itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam aksi semalam, pemain gantian iaitu N. Thanabalan menanduk masuk jaringan penyamaan skuad negara pada minit 67 sebelum Han Seung Gyu menjaringkan gol kemenangan Korea pada lewat permainan.

Menurut Kim Swee, apabila pulang nanti beliau akan mengkaji kembali permainan yang di tonjolkan anak buahnya untuk di tambah baik.

“Ia satu pencapaian baik tapi kita tidak boleh bergembira, apabila kita balik ke Malaysia nanti, kita kena lihat semula semua perlawanan yang diharungi di sini. Kita kena lebih konsisten.

“Bagaimanapun, saya percaya dengan kemampuan pemain sekarang. Mereka semakin yakin dan dalam aksi tadi mereka seperti lupa bermain dengan Korea Selatan, sebaliknya seperti beraksi menentang pasukan dari negara Asia Tenggara saja,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *