ACL : Morais Akui JDT Perlu Perbaiki Kelemahan

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Ulisses Morais mengakui banyak perkara perli di lakukan oleh pasukan itu untuk memantapkan lagi kekuatan mereka.

Juara Liga Super itu tumpas mudah 2-5 di tangan Muangthong United dalam saingan kelayakan ke Liga Juara Juara Asia malam tadi di Stadium Supachalasai.

“Saya terima keputusan tersebut, banyak perkara yang kami perlu memperbaikinya. Inilah yang terjadi apabila membuat kesilapan menentang pasukan yang pernah bermain dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL), dimana mereka bermain di peringkat yang berbeza.

“Oleh itu, buat para pemain yang ada, yang tidak pernah berada di standard ACL atau peringkat yang tertinggi, inilah yang terjadi apabila mereka tidak fokus dan buat silap di peringkat ini.

“Walaubagaimanapun, ini adalah cita-cita JDT. Ini adalah proses dan kami harus berasa bangga sebagai satu-satunya pasukan dalam negara yang sentiasa bermain dalam saingan kelayakan ACL.

“Kerana itu adalah peringkat tertinggi di mana tidak ada mana-mana pasukan dalam negara yang bermain sehingga ke tahap itu. Jadi oleh itu, kita patut berasa bangga.

“Kami tahu bahawa pasukan Muangthong merupakan sebuah pasukan yang lebih hebat dan berkualiti daripada JDT. Tetapi ia adalah proses dimana kami akan perbaiki skuad ini.

“Kalau kami lihat pada permainan kami, barisan pemain kami, kami terpaksa bermain dengan Bruno kerana kami masih perlu menunggu Marcos Antonio pulih dan beliau dalam proses pemulihan dan akan bermain dalam perlawanan Piala Sumbangsih.

“Itu sebabnya kita tidak boleh menggunakan Marcos sekarang kerana dikhuatiri akan cedera semula kerana beliau baru sahaja pulih dari kecederaan. Oleh itu kami perlu beri peluang kepada Bruno dahulu.

“Luciano pula mengalami jangkitan tonsil, jadi itu memang tidak bernasib baik buat kami kerana dalam perlawanan pra-musim, pemain paling menyerlah adalah Luciano Figueroa tetapi tiada nasib dan Marcos belum pulih sepenuhnya.

“Corbin, pertahanan kiri juga tidak dapat bermain kerana masalah pendaftaran di saat-saat akhir.Tiga-tiga pemain ini akan beraksi pada perlawanan berikutnya manakala Bruno akan beraksi di pasukan JDT II.

“Kita harus berasa bangga kerana menjadi satu-satunya pasukan yang mewakili negara dalam peringkat tertinggi.

“Walaupun kami tewas, kami tidak patut berputus asa dan kami perlu mencuba lagi sehinggalah tiba hari JDT layak mewakili negara dalam saingan ACL. Dan apabila kami berada di ACL satu hari nanti, kami mungkin akan tewas 6-0, 7-0, 8-0 di peringkat yang lebih tinggi.

“Tetapi tidak mengapa kerana matlamat kami begitu jelas iaitu kami mahu JDT berada di mana yang lain tidak berada.

“Oleh itu, kalah atau menang belakang kira kerana yang penting adalah pengalaman yang kami pelajari dan kami berada di pertandingan yang tertinggi.

“Apa pun saya berpuas hati, tetapi saya ada banyak lagi perkara yang akan saya perbaiki, yang akan saya bincangkan dengan DYAM Tunku Mahkota, Pengarah Sukan dan juga Pengarah Teknikal apabila balik nanti.

“Kekalahan ini bagus untuk menyedarkan kami yang mana kami tidak sepatutnya berada dalam keadaan terlalu yakin kerana banyak lagi perkara yang perlu kami perbaiki,” ujar beliau.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *