Piala FA : Raul Longhi Percaya Kemampuan Anak Buah

 

Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Raul Longhi memberitahu Berita Harian, para pemainnya sudah bersedia untuk aksi bertemu Pahang dalam saingan suku akhir Piala FA pada Jumaat ini.

Beliau berkata keseluruhan pemainnya berjaya memberi komitmen yang baik ketika sesi latihan dan yakin pemainnya mampu memberikan aksi terbaik.

Dalam perkembangan sama, Raul juga memberitahu bek kanan, S. Kunanlan berkemungkinan tidak dapat di turunkan kerana masalah kecederaan.

“Semua pemain JDT kini berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan telah memberi sepenuh komitmen terhadap latihan fizikal dan taktikal sepanjang tempoh rehat saingan Liga Malaysia.

“Hanya Kunanlan yang mungkin tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan di buku lali dan tahap kecergasan pemain itu dipantau oleh pegawai fisioterapi untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya.

“Sekiranya Kunanlan tidak dapat diturunkan, kami masih ada pemain gantian yang boleh mengisi posisi pertahanan kanan dan senario itu tidak menggusarkan saya kerana pemain simpanan memiliki kualiti setanding,” ujar beliau.

Walaubagaimanapun, beliau tetap merasakan kesukaran bertemu Pahang namun percaya pasukannya mampu memberi tentangan sengit kepada lawan.

Sasaran ‘Harimau Selatan’ ialah memberi aksi terbaik di laman lawan pada aksi pertama seterusnya mengekalkan momentum bagi aksi di laman sendiri nanti.

“Saya akui pertembungan dengan skuad kendalian Dollah Salleh tampak sukar kerana mereka pasti mahu menggunakan kesempatan beraksi di laman sediri tapi kami tetap bersedia untuk menang pada aksi itu dan harus memperagakan corak permainan bijak.

“Falsafah dalam JDT mengutamakan mentaliti positif dan sentiasa beraksi konsisten kerana ia penting untuk memburu kemenangan. Suku akhir dijalankan secara timbal balik dan kami perlu memberi lebih 100 peratus pada aksi pertama dan mengekalkan momentum pada baki 90 minit di Larkin selepas ini.

“Para pemain memahami perancangan formasi yang dibentuk dan mereka mampu mengubah mengikut kesesuaian rentak permainan dan keutamaan adalah memperagakan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan mudah,” tambah beliau.

Sumber – Berita Harian

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *