Norazlan Sedia Bersaing Dengan Azhan

Norazlan Razali lebih rela bersaing dengan Khairul Azhan Khalid daripada meninggalkan Selangor sekalipun kedudukannya sebagai penjaga gol utama lebih terjamin jika menyertai pasukan lain.

Norazlan yang bersetuju meneruskan komitmennya bersama The Red Giants sebaik sahaja kontraknya berakhir semalam, berkata, dia bertekad untuk kekal bersama pasukan itu selagi kudratnya diperlukan.

“Selagi Selangor mahukan saya, selagi itu saya tidak akan ke mana-mana. Kalau boleh saya mahu mengakhiri karier bersama mereka.

“Bukan sahaja saya selesa berada dalam pasukan itu malah saya juga gembira dengan kehidupan di sini. Saya sudah membeli rumah di Shah Alam serta mahu menetap di Selangor walaupun selepas bersara kelak,” ujar Norazlan.

Pemain yang berasal dari Johor itu mengakui menerima tawaran daripada beberapa pasukan sebaik sahaja liga tamat pada akhir Oktober lalu dengan janji dia akan diberikan status sebagai penjaga gol utama.

Namun, rasa sayangnya kepada Selangor menyebabkan Norazlan menolak tawaran berkenaan walaupun menyedari dia perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat bersama Azhan.

“Saya tidak rasa kedudukan dalam pasukan tergugat walaupun terpaksa bersaing dengan Yan (Azhan). Tiada istilah siapa penjaga gol nombor satu kerana kami mendapat peluang sama rata.

“Musim ini contohnya, saya diturunkan dalam 13 perlawanan yang jelas menunjukkan tiada sesiapa antara kami yang bergelar penjaga gol pilihan.

“Memang, jika mahu kedudukan lebih selesa, saya boleh menyertai pasukan lain tapi saya bersedia untuk terus bersaing dengan Yan.

“Lagipun sejak kedatangan Yan dua musim lalu, saya rasa permainan saya makin meningkat kerana bekerja lebih keras bagi merebut tempat,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *