Liga Super : Azmeer Tekad Halang Andik

Pertahanan kiri Kuala Lumpur, Azmeer Yusof berkata beliau berusaha keras untuk mengkaji corak permainan yang di tampilkan pemain sayap Kedah, Andik Vermansyah.

Azmeer memberitahu Berita Harian, beliau pernah berpengalaman beraksi menentang Andik iaitu ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor pada 2016.

Beliau mahu menggunakan segala pengalaman yang beliau miliki untuk mengekang pemain tersebut.

Beliau memperuntukkan sedikit waktu sebelum beliau tidur untuk melihat video pergerakan Andik. Menurut beliau, Andik mampu mengucar kacirkan lawan biarpun tanpa bola.

“Semua orang cukup masak dengan kemampuan Andik yang laju seperti lipas kudung. Saya tahu apa yang bakal dihadapi bila berhadapan dengannya kerana kami pernah ‘bersemuka’ pada final Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor pada tahun 2016.

“Saya akui memang sukar mengekang Andik kerana dia tidak akan duduk diam, berlari sepanjang masa, sama ada bola di kakinya atau tidak yang mana boleh mengucar-ngacirkan pertahanan.

“Oleh itu, untuk perlawanan Sabtu ini, saya membuat persiapan rapi untuk berdepan Andik dengan menonton video perlawanan yang membabitkan dirinya.

“Selalunya, sebelum tidur, saya peruntukkan masa antara 30 hingga 45 minit menonton sambil mengkaji persembahan pemain itu bagi memastikan saya benar-benar dapat membaca permainannya.

“Saya bertekad merantai setiap pergerakannya serta tidak akan memberi ruang walaupun seinci kerana ia boleh membawa padah kepada kami,” kata Azmeer.

Tambah beliau lagi, bukan Andik sahaja yang perlu beliau kawal sebaliknya semua pemain sayap Kedah kerana pasukan tersebut sering menukar pemain sayap ketika perlawanan.

“Kelebihan Kedah adalah pemain sayapnya boleh bertukar-tukar posisi sama ada ke kiri atau ke kanan. Jadi, bukan saya sahaja sebaliknya semua pemain Kuala Lumpur perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman barisan depan mereka,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *