Liga Malaysia : TMJ Tak Rela Lepaskan FMLLP

Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan untuk terus menerajui badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu jika terus mendapat sokongan wakil 24 pasukan pada pemilihan di Kongres Tahunan FMLLP pada 25 Mac depan.

Selain itu, Tunku Ismail mahu menghormati kepercayaan penaja yang mungkin hilang kepercayaan ke atas pelaburan mereka andai pertukaran teraju kepimpinan dalam FMLLP berlaku.

“Tetapi kemungkinan (saya) akan terus kekal di FMLLP kerana ada sebilangan penaja-penaja yang mahukan hanya saya yang terus mentadbir kewangan liga,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook, Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail yang menyuarakan pendirian itu ketika sesi santai bersama penyokong di JDT Cafe baru-baru ini turut bimbang nasib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andai beliau membuat keputusan mengundurkan diri sebagai Presiden.

“Saya akan keluar daripada FAM..hanya bila…selepas saya membantu pasukan-pasukan dalam negara dapat sumber kewangan mereka. Saya bekerja sekarang untuk memperjuangkan hak-hak penyiaran dan mengembalikan keyakinan penaja untuk membantu

“Apa yang merisaukan jika saya keluar nanti adalah nasib bolasepak tempatan kita. Akan kembali kepada masalah-masalah dulu. Sebelum saya masuk FAM,” katanya.

Dalam laporan Sukan NSTP sebelum ini, Tunku Ismail dikatakan masih menjadi calon pilihan untuk kekal menerajui FMLLP meskipun pemilihan baru bakal dilakukan pada 25 Mac depan selepas penggubalan perlembagaan diluluskan.

Ketika ini, jawatan pengerusi FMLLP akan diisi secara automatik Presiden FAM dan penggubalan perlembagaan itu adalah antara usaha untuk memisahkan dua organisasi berkenaan.

Sejak mengetuai FMLLP, Tunku Ismail membuktikan kewibawaannya dengan membawa masuk beberapa penaja besar termasuk daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan nilai RM480 juta bagi tempoh lapan tahun dan penyedia perkhidmatan televisyen internet, iflix yang dianggar bernilai RM100 juta selama 10 tahun.

Menerusi penajaan baru itu, FMLLP berjaya menyalurkan geran tahunan sebanyak RM3 juta kepada setiap pasukan Liga Super berbanding RM1 juta sebelum ini manakala pasukan Liga Perdana menikmati kenaikan geran daripada RM500,000 kepada RM1 juta tahun ini.

Sumber – Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *