KLFA Balas Kata-kata Pedas TMJ

| |

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menjelaskan mereka sudah membayar tunggakan gaji pemain sebelum perlawanan pertama menentang Pahang, 1 Februari lalu.

Setiausaha Agungnya, Nokman Mustaffa berkata pihaknya sudah berjanji untuk melunaskan tunggakan itu sebelum perlawanan pertama dan ia tiada kena mengena dengan mana-mana perlawanan.

“Kita sudah berjanji kepada pemain untuk bayar sebelum perlawanan pertama menentang Pahang dan Alhamdulillah kita berjaya tunaikan.

“Jadi, ia tidak ada kaitan pun dengan aksi menentang JDT dan ia hanya secara kebetulan.

“Ia perkara biasa. Apabila kita sudah ada duit, kita langsaikan segala bayaran tunggakan itu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, bayaran tunggakan pada 30 Januari itu membabitkan semua pemain dan pegawai pasukan Kuala Lumpur, termasuk skuad Piala Belia, Piala Presiden dan Piala Bawah 19 tahun.

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipercayai ‘menyindir’ KLFA (BACA DISINI) dalam laman sosial Twitter menjelang pertemuan kedua-dua pasukan malam esok.

“Bila nak lawan JDT saja, baru nak bayar gaji ke? Bila ada isu oleh kerana kelemahan diri sendiri tak nak mengaku.

“Nak bawa kes ke FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) lah, mahkamah lah. Bila diri sendiri tak betul nak bawak sapa pulak ke Mahkamah?,” tweet Tunku Ismail.

Pintu belakang?

Kenyataan Tunku Ismail itu dipercayai berkait rapat dengan tindakan KLFA yang mahu mengheret kes perpindahan Syazwan Andik ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) seperti yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung isu perebutan Akhyar Rashid bersama JDT.

Syazwan menyertai JDT musim ini selepas mendakwa kontraknya bersama KLFA tamat serta merta apabila gajinya tertunggak dua bulan.

Pada aksi sulung minggu lalu, JDT membuka aksi dengan langkah kanan apabila menewaskan Perak 1-0 sekali gus mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah manakala The City Boys tunduk kepada Pahang 1-3.

Previous

Bebas Dari Penjara, Bekas Pemain Man City Ini Berharap Masih Ada Kelab Mahukannya

Penjaga Gol Ini Dapat Anak Kembar Selepas Beri Kemenangan Untuk Kelabnya

Next

Leave a Comment

error: Content is protected !!