Import PKNS Berminat Untuk Menyertai Skuad Kebangsaan Walaupun Terpaksa Tunggu 3 Tahun .

| |

KETIKA ada antara pemain tempatan yang menganggap panggilan skuad kebangsaan adalah perkara remeh, lain pula halnya bagi pemain naturalisasi PKNS, Romel Oswaldo Morales yang sanggup menunggu tiga tahun jika tempoh itu diperlukan sebelum menyarung jersi Harimau Malaysia.

Morales yang berasal dari Columbia, sudah selesa tinggal di negara ini dan ingin membalas segala kebaikan yang diterima untuk berbakti kepada pasukan kebangsaan.

Dia yang kini berusia 22 tahun berkata, dipilih bermain untuk mewakili sesebuah negara adalah satu kebanggaan sekali gus membuktikan pemain terbabit berkualiti dan antara yang terbaik.

Walaupun belum menerima sebarang panggilan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun Morales sanggup menunggu untuk tempoh tiga tahun bagi memenuhi syarat ditetapkan seterusnya bersedia berkhidmat bagi Harimau Malaya.

“Saya suka bermain untuk pasukan Malaysia terutama dengan keadaan budaya menyeronokkan selain mewakili PKNS yang mempunyai semangat kerjasama tinggi. Jika perlu menunggu tiga tahun pun tiada masalah pada saya kerana mewakili negara adalah satu kebanggaan yang tidak ramai dapat peluang berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan PKNS FC menentang FELDA United di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sebelum ini, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama menyarung jersi skuad kebangsaan.

Pemain Pahang berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia, April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.

Mengikut rekod, sebelum ini hanya pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan antaranya Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).

Syarat yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah setiap pemain naturalisasi yang tiada pertalian darah perlu menetap di negara ini sekurang-kurangnya lima tahun selepas berusia 18 tahun sebelum dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan.

Sementara itu, Morales yang pernah mewakili Club Atletico Banfield yang berpangkalan di Argentina turut ‘jatuh hati’ kepada makanan di negara ini.

“Jika ditanya apa yang menarik mengenai Malaysia, sudah pastinya makanan dan budayanya malah keluarga saya pun seronok tinggal di sini,” katanya.

Previous

(Video Penuh) Selangor Hanya Perlukan 10 Minit Untuk Bangkit Kecewakan KL 3-2

JDT Bernasib Baik Kalah Tipis Kepada Kashima Antlers – Jurulatih Gyeongnam

Next

Leave a Comment

error: Content is protected !!