Baihakki Ubah Haluan

Pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan membuat pusingan U pada saat akhir apabila menolak beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.

Sebaliknya, Baihakki yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Lions XII itu memilih beraksi bersama juara Thailand, Muangthong United.

Perkembangan mengejutkan itu jelas mengecewakan ketua jurulatih KL, Fabio Maciel yang berharap pertahanan tengah berpengalaman terbabit dapat menyertai skuad kendaliannya.

Baihakki, 33, dijadual tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk menandatangani kontrak sebelum mengubah haluannya ke Bangkok untuk memeterai perjanjian dengan Muangthong yang dijadual bertemu JDT dalam saingan playoff Liga Juara-Juara, 23 Januari ini.

“Baihakki memberitahu kami hari ini dia tidak akan menyertai KL selepas menerima tawaran saat akhir untuk bermain bersama Muangthong,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa hari ini.

“Tarikan untuk bermain di Liga Juara-Juara mungkin terlalu bagus untuk ditolak.

“Tetapi keputusannya meletakkan kami dalam situasi yang sukar kerana tidak banyak pilihan yang ada dalam kelompok pemain ASEAN di bahagian pertahanan tengah.”

Kehadiran Baihakki sebelum ini diharapkan bakal melengkapkan jumlah kuota import KL dan dengan ketiadaannya Maciel dijangka kembali mengalih tumpuan terhadap Indonesia selepas turut gagal mendapatkan Achmad Jufriyanto dari Persib Bandung.

Pasukan yang diberi jolokan The City Boys itu akan berangkat ke Yogyakarta, Isnin ini bagi mengharungi tiga perlawanan persahabatan selain mencari pemain berpotensi untuk dipikat.

KL yang menjuarai saingan Liga Perdana musim lalu ketika ini sudah mendapatkan pertahanan Uzbekistan, Boburjon Akbarov dan dua pemain import, Hisyamuddin Shaari dan Saifulnizam Miswan bagi menguatkan posisi pertahanan tengah.

Sumber – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *