Amirizdwan Taj Akhirnya ‘Mengamuk’ dengan Presiden Perlis

| |

Gara-gara termakan janji, tonggak pertahanan Perlis Amirizdwan Taj Tajuddin sekali lagi menjadi mangsa tunggakan gaji selepas turut menempuh skrip sama ketika bersama dua pasukan terdahulu.

Dia yang pernah mengalami tunggakan gaji bersama skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan, mengakui fobia dengan isu terbabit apabila dia sekali lagi berhadapan situasi sama apabila Perlis sehingga kini masih gagal melunaskan gajinya.

Katanya, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie pernah mengakui mempunyai bajet besar RM15 juta untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang musim ini dan mahu dia menyertai skuad Singa Utara itu.

Dengan berpegang pada janji itu, bekas pemain kebangsaan tinggi lampai itu terus bersetuju untuk memperkuatkan skuad Perlis bersama beberapa tonggak senior lain seperti Safee Sali, Khyril Muhymeen, Badri Radzi, Azmi Muslim, Nasriq Baharom dan ramai lagi.

“Mana RM15 juta itu? Beliau kata bajet itu untuk pasukan utama Perlis hingga hujung musim ini. Takkan dah habis atau sebenarnya beliau ‘kencing’ saya.

“Masalahnya liga tak mula pun lagi, tapi saya dan kawan-kawan lain tak dibayar langsung dari bulan lepas dan esok dah masuk bulan kedua.

“Saya harap beliau akan dapat selesaikan masalah ini segera. Jangan aniaya pemain kerana masa pujuk cakap memang ‘power’, tapi sebenarnya habuk pun tak ada,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Terdahulu, PFA menerima tamparan hebat apabila bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mendedahkan masih belum menerima gaji yang sepatutnya dibayar pada 7 Januari lalu.

Memasuki bulan kedua esok, PFA masih lagi belum melunaskan apa-apa bayaran gaji dengan pemain memberi bayangan akan meninggalkan pasukan itu sekiranya tidak menerima gaji esok.

Jika benar kesemua pemain akan ‘mengangkat kaki’, Perlis berdepan risiko bahaya untuk menghadapi UiTM FC Jumaat ini dengan kemungkinan mereka gagal menghadiri perlawanan kedua itu seperti mana yang berlaku kepada Kuantan FA pada musim lalu.

Pada 15 April 2018, aksi Kuantan FA dan PDRM di Stadium Shah Alam terpaksa dibatalkan selepasa nak buah Ismail Zakaria tidak hadir pada waktu perlawanan bermula sebagai tanda protes kegagalan pengurusan menyelesaikan tunggakan gaji kelab itu.

“Pasal nak keluar daripada pasukan itu saya tak tahu kena tanya pemain lain. Macam bagi saya, kita masih ada kontrak dan perlu menghormati kontrak itu,” katanya.

Sumber FOXsport Malaysia.

Previous

Selangor Pasukan Pertama Enggan Lepas Pemain untuk Skuad OKS

Terkini! Safee Sali dan Shahril Shaari Bakal Sertai Kelantan

Next

Leave a Comment

error: Content is protected !!