Afandi Sarankan Hamidin Di Beri Kemenangan Percuma

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah mengharapkan ‘kemenangan percuma’ di berikan kepada Datuk Haji Hamidin Mohd Amin untuk menjadi Presiden baru FAM lapor Berita Harian!

Setiausaha Agung FAM itu sudah berkhidmat bersama FAM sejak 2013 menggantikan Datuk Azzudin Ahmad yang berpindah menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF).

Hamidin memiliki pengalaman luas dalam pengurusan bolasepak apabila mula bekerja bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejak 1999.

Afandi juga tanpa berselindung menyokong penuh bekas rakan sekerja beliau itu dahulu. Mesyuarat khas pertama FAM bagi penggal 2017-2021 pada Isnin memutuskan nama Hamidin selaku calon Presiden baru FAM bagi Kongres pada Julai nanti.

Lebih meyakinkan, bekas Presiden FAM iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesyorkan nama Hamidin selaku Presiden baru FAM pada minggu lalu.

Beliau juga mengharapkan tidak ada calon lain yang cuba untuk menentang Hamidin dalam perebutan kerusi panas bolasepak Malaysia itu. Keputusan itu akan lebih mengharmonikan suasana FAM.

“Saya mengenali Hamidin secara peribadi dan sudah tentu saya bersetuju menyatakan Hamidin sememangnya layak untuk menjadi presiden. Dengan pengalamannya yang luas selaku pentadbir, ini membuktikan beliau memiliki kemampuan untuk menjadi pemimpin.

“Malah hubungan baiknya dengan persatuan sukan dalam dan luar negara juga dilihat mampu meneruskan perancangan yang sudah disusun.

“Tunku Ismail sendiri yang mencalonkan namanya jadi sudah tentu beliau (Tunku Ismail) percaya dengan kredibilitinya.

“Justeru saya melihat lebih baik sekiranya tiada persaingan untuk merebut jawatan presiden pada kongres nanti.

“Exco perlu merealisasikan hasrat Tunku Ismail yang mahukan Hamidin supaya menjadi Presiden FAM yang baharu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian!

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *