Yusri Che Lah Hampir Pasti Sertai Kelantan

Yusri Che Lah

Yusri Che LahBekas pe­ngendali Felcra FC, Yusri Che Lah dikhabarkan semakin hampir menyertai Kelantan untuk memperkasakan barisan kejurulatihan The Red Warriors (TRW) untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, bekas pemain Perlis itu sudah pun tiba di Kota Bharu untuk urusan perbincangan kontrak de­ngan pihak atasan persatuan itu.

Katanya, Yusri berkemungkinan akan ditawarkan jawatan penolong jurulatih kepada Sathit Bensoh dari Thailand.

“Kita tidak menolak kemungkinan Bensoh akan mengepalai barisan kejurulatihan Kelantan menggantikan Zahasmi walaupun kepimpinan tertinggi Kafa sebelum ini menafikan mahu membawa masuk jurulatih import.

“Apa pun, masih terlalu awal untuk mengesahkan perkara ini dan lebih elok kita tunggu pe­ngumuman rasmi daripada pengurusan tertinggi Kafa, dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.

Sumber dalaman Kafa itu memberitahu, Yusri akan turut digandingkan dengan seorang lagi anak tempatan bagi memperkasakan lagi barisan kejurulatihan, namun beliau tidak mendedahkan namanya.

“Kita percaya gabungan ketiga-tiga mereka mampu menjadikan Kelantan lebih berdaya saing pada musim depan,” ujarnya.

Yusri, yang pernah beraksi sebanyak 42 kali bersama skuad kebangsaan, pernah mengendalikan Perlis sebelum menyertai Felcra FC pada tahun lalu.

Namun jodoh Yusri bersama Felcra FC berakhir pertengahan musim ini akibat kemerosotan prestasi pasukan.

Sementara itu, Kafa terus memperkasakan TRW menje­lang kempen musim hadapan apabila membawa masuk bekas penyerang pasukan UiTM FC, Do Dong-Hyun, 23.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain tersebut sah mengikat kontrak selama dua musim bersama TRW.

“Saya percaya kehadiran pemain ini akan memperkasakan lagi jentera serangan TRW untuk saingan musim depan nanti.

“Kelibat Dong-Hyun ini telah menarik minat panel kejurulatihan yang ditugaskan untuk memilih pemain oleh pengurusan Kafa,” katanya.

Sumber: Utusan

2 thoughts on “Yusri Che Lah Hampir Pasti Sertai Kelantan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *