Van Dijk wira Anfield

Virgil van Dijk

Virgil van DijkVirgil van Dijk pantas mencipta impak bersama Liverpool apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik menewaskan jiran setempat, Everton 2-1 dalam aksi menarik pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

Pemain Belanda itu yang dibeli daripada Southampton minggu lalu dengan harga STG75 juta pound (RM406 juta) menanduk masuk bola sepakan sudut Alex Oxlade-Chamberlain pada minit ke-84.

“Malam yang hebat. Jaringan itu cukup istimewa buat saya dan keluarga,” kata Van Dijk.

“Beraksi di Anfield untuk Liverpool menjadi impian setiap pemain dan menjaringkan gol menjadikan ia lagi istimewa,” katanya lagi.

Hasrat Liverpool hampir musnah apabila Gylfi Sigurdsson menyamakan kedudukan buat Everton pada minit ke-67 hasil serangan balas pantas anak buah Sam Allardyce sekali gus bagaikan mengulangi aksi liga di antara kedua-dua kelab bulan lalu apabila kedua-dua pasukan seri 1-1 walaupun The Reds menguasai keseluruhan perlawanan.

Bagaimanapun Van Dijk yang dibeli untuk memperkuatkan bahagian pertahanan membuktikan pembeliannya berbaloi dengan menjadi pemusnah impian lawan.

Liverpool mendahului pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti James Milner selepas pertahanan Everton, Mason Holgate mengasari Adam Lallana dalam kotak penalti.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menghiburkan dengan serangan pantas dan gerakan menarik. Pemain Everton, Wayne Rooney yang mendapat kad kuning pada minit ketujuh selepas terjahan keras ke atas Joe Gomez dikeluarkan pada minit ke-52 yang berkemungkinan bagi mengelakkan dia mendapat kad merah selepas bekas pemain Manchester United itu kerap mengasari lawan.

Toffees menghukum kealpaan pertahanan Liverpool dengan jaringan penyamaan Sigurdsson tetapi pertahanan termahal dunia menjadi wira Anfiel. – Reuters

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *