Lingard, Lukaku ‘Selamatkan’ Mourinho

lukaku dan lingard

lukaku dan lingardJaringan hebat Jesse Lingard dan percubaan saat akhir pemain gantian Romelu Lukaku memastikan kemenangan Manchester United ke atas pasukan Liga Kejuaraan Derby, 2-0 pada aksi pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi.

Kedua-dua percubaan itu yang hadir pada enam minit terakhir, menjadi tumpuan pada perlawanan pertama Piala FA membabitkan skuad gergasi United yang tidak disiarkan secara langsung dalam tempoh 13 tahun.

United hanya tewas sekali dalam 35 pertemuan Piala FA membabitkan pasukan liga bawahan, namun hampir membawa kepada perlawanan ulangan sehinggalah Lingard yang pernah dipinjamkan kepada Rams, yang meledak lapan gol dalam 10 perlawanan, cemerlang menerusi voli melencong disusuli Lukaku dengan gol kedua.

“Saya rasa kami semakin hampir menjaringkan gol dan tidak pernah berhenti mencuba,” kata pengurus United Jose Mourinho, yang mengakui Liga Kejuaraan kini menghampiri kualiti Liga Perdana Inggeris.

“Namun apabila perlawanan melepasi 80 minit dan masih tiada gol, anda mula bimbang berlaku perlawanan kedua. Namun pasukan terus mencuba jadi saya tahu gol akan hadir juga.

“Jaringan yang hebat dari Jesse Lingard, dia berada di tahap keyakinan tinggi apabila keadaan memihaknya. Dia seorang profesional dan hebat di bilik persalinan.”

Penyingkiran Piala Liga bulan lalu serta ketinggalan 15 mata berbanding Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris menjadikan kejohanan ini semakin penting dan ia terbukti dengan barisan skuad hebat yang diturunkan Mourinho.

Lingard, Paul Pogba dan Marcus Rashford sepatutnya menjaringkan gol dalam tempoh 19 minit yang membayangkan eksekutif televisyen mungkin melakukan kesilapan kerana meminggirkan perlawanan itu.

Derby cemerlang menerusi aksi hebat bekas pemain muda United Tom Lawrence, manakala Marcus Olsson memaksa Sergio Romero bekerja keras untuk menolak tandukannya melepasi palang, disusuli tandukan Alex Pearce dari sepakan sudut.

Lingard akhirnya merobek ‘kedegilan’ pelawat, apabila menyambut bola dari Lukaku, sebelum melakukan sepakan lencong ke sudut gawang.

Jaringan ke-11 miliknya musim ini dilihat istimewa seperti juga percubaannya ketika menentang Watford, Burnley dan Everton.

Lukaku mendapat peluang pada minit ke-90 apabila berjaya mengawal bola yang dikeluarkan Pogba dengan dada di bahagian tengah sebelum bergandingan dengan Martial dan menyempurnakannya dengan rembatan kencang melepasi penjaga gol lawan Scott Carson. – AFP

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *