Cheng Hoe Hadiahkan Kemenangan Kepada TMJ

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji persembahan yang di peragakan anak buahnya ketika mereka berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan apabila membenam cabaran Bhutan 7-0.

Selain itu, berkata kepada Berita Harian, Cheng Hoe mendedikasikan kemenangan bergaya itu kepada mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ)  Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagi beliau, kemenangan itu di anggap sebagai hadiah perpisahan untuk Tunku Ismail yang sah meletak jawatan sebagai Presiden FAM pada 25 Mac yang lalu.

Tunku Ismail di sahkan bukan lagi Presiden FAM selepas perletakan jawatan beliau di terima exco dalam mesyuarat khas pada Isnin.

“Satu pujian harus diberikan kepada barisan pemain dan jurulatih atas kemenangan ini. Kami memang dahagakan kemenangan dan kita boleh lihat pemain berjuang habis-habisan sejak minit pertama hingga tamat perlawanan.

“Tahniah kepada semua kerana tamatkan badi 12 perlawanan tanpa menang dan kemenangan ini juga satu hadiah buat Tunku Ismail kerana sentiasa memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan mencipta kemenangan pertama sejak November 2016 itu, Cheng Hoe tetap merasakan ada beberapa aspek yang masih lagi perlu di perbaiki skuadnya.

Penilaian pemain juga akan sentiasa di lakukan oleh Cheng Hoe bagi memastikan kualiti yang di miliki skuad negara lebih baik.

“Kami masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan termasuk menajamkan lagi penyudah dan memperkemaskan benteng pertahanan kerana kami perlu juga perlawanan menentang pasukan yang lebih kuat selepas ini.

“Buat sementara waktu, kami akan meneruskan pemantauan bagi menilai sama ada akan mengekalkan pemain sekarang atau memanggil pemain lain bagi memperkuatkan pasukan kerana dan akan mengatur perlawanan persahabatan pada Julai nanti,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Kim Swee Mahu Sasaran Realistik Untuk Malaysia B23

Ketua jurulatih Malaysia B23, Datuk Ong Kim Swee mahu pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat sasaran yang realistik untuk skuad bimbingan beliau itu.

Memberitahu Berita Harian, beliau menegaskan sasaran realistik perlu di buat bagi saingan Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia pertengahan tahun ini.

Bagi beliau, sasaran perlu jelas sama ada pihak pengurusan mahukan skuad terbaik di gunakan atau menampilkan barisan muda untuk pendedahan bagi kelayakan Kejohanan AFC pada tahun hadapan.

“Kita seharusnya realisitik kerana jika kita menghantar pasukan terbaik, sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dan mara ke peringkat suku akhir.

“Tetapi jika kita tidak mampu mendapatkan pemain terbaik, kita perlu mempertimbangkan sasarannya kerana kita akan memberi pendedahan kepada pemain berusia 21 dan 22 tahun sebagai persediaan untuk mengharungi pusingan Kelayakan B-23 pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut mengenai perancangan semasa Malaysia B23, Kim Swee berkata skuad muda negara bakal menyertai kejohanan jemputan PSSI di Indonesia.

“Selepas ini, kita akan terbabit dengan kejohanan jemputan PSSI yang akan bermula pada 28 April ini. Kita akan mula berlatih pada 20 April dan itu adalah pelan jangka masa pendek kita buat masa ini.

“Kemudiannya, kita akan melakukan persiapan untuk ke Sukan Asia,” katanya.

Kim Swee turut mahu mencurahkan segala pengalaman beliau menimba ilmu bersama Atletico Madrid ketika membimbing skuad muda negara.

“Ilmu dapat diserap tanpa mengira dari mana ia datang. Apa yang penting adalah kita tahu sama ada boleh atau tidak kita menggunakan corak yang sama di Atletico Madrid dengan set pemain yang kita ada buat masa ini.

“Apa yang baik, saya akan bawa bersama namun apa yang saya fikir belum lagi bersedia untuk diterapkan kepada pemain, saya akan tunggu pada masa yang lebih sesuai,” katanya lagi.

Sumber – Berita Harian

TMJ Bangga Malaysia Menang, Akui Beliau Catat Satu Kemenangan

Walaupun sudah membuat keputusan untuk tidak lagi bersama barisan kepimpinan bolasepak Malaysia, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap gembira dengan kejayaan Malaysia membenam Bhutan 7-0.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Zaquan Adha cemerlang menyumbat empat gol sementara Wan Zack Haikal, Irfan Zakaria dan Syafiq Ahmad masing masing dengan satu gol.

Menerusi satu video yang di paparkan di laman facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail menegaskan kemenangan semalam adalah di catatkan di bawah kepimpinan beliau sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Hal ini kerana mesyuarat EXCO yang akan memutuskan sama ada perletakan jawatan beliau di terima atau tidak hanya akan berlangsung hari ini. Jadi semalam, beliau masih Presiden FAM.

Mesyuarat khas EXCO FAM pada hari ini, dijadual membincangkan peletakan jawatan Tunku Ismail sebagai presiden badan induk bola sepak negara itu yang beliau serahkan secara rasmi pada 25 Mac lalu.

“Tidak kisah lawan Bhutan ker, budak sekolah ker, menang tetap menang. Sekurang-sekurangnya ada satu kemenangan,” katanya yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

“Mesyuarat (khas Jawatankuasa Eksekutif atau EXCO FAM) esok. Jadi ketika ini, jika berdasarkan rekod, saya masih presiden, esok(hari ini) baru bukan.

“Satu kemenangan, well done (syabas) Harimau Malaya. Terima kasih Harimau Malaya,”.

Empat Perkara Daripada Kemenangan Malaysia

Skuad negara akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan selepas begitu lama mengalami kemarau kemenangan.

Bertemu Bhutan, anak buah Tan Cheng Hoe cemerlang membedil lawan dengan kemenangan 7-0 di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Berikut kami paparkan beberapa perkara yang di perolehi daripada perlawanan semalam.

1. Zaquan Adha Catat Hatrik

Jika di kenang kembali, Zaquan tidak akan berada dalam skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan ini selepas beliau tidak di senaraikan dalam panggilan awal.

Mujur Tan Cheng Hoe membuat keputusan menggilirkan para pemain dengan melepaskan 14 pemain Johor Darul Takzim dan menambah sembilan pemain baru, Zaquan termasuk dalam senarai tersebut.

Ketua pasukan negara ini cemerlang menyumbat empat gol dalam perlawanan semalam dan sudah lama beliau tidak mendapat sentuhan jaringan bersama skuad kebangsaan. Jaringan beliau tercatat pada minit 19, 36, 39 dan 54.

2. Kemenangan Pertama Tan Cheng Hoe

Sejak di lantik menjadi ketua jurulatih baru Malaysia pada hujung tahun lepas, Tan Cheng Hoe mencipta debut beliau sebagai pengendali kebangsaan pada aksi menentang Mongolia minggu lalu.

Dalam tiga perlawanan yang di lalui, beliau mencatat keputusan seri 2-2 dengan Mongolia, tewas 1-2 kepada Lubnan dan kemenangan pertama beliau hadir dalam kemenangan 7-0 ke atas Bhutan.

3. Kemenangan Pertama Harimau Malaya Sejak November 2016

Kepahitan yang perlu di telan. Skuad negara tidak langsung mencatatkan kemenangan sepanjang tahun 2017 yang lalu. Kalah dan seri sahaja menghiasi kalendar skuad negara.

Kali terakhir skuad negara merasa kemenangan adalah pada 20 November 2016 ketika saingan Piala AFF dengan kemenangan 3-2. Amri Yahyah menyumbat dua gol dalam aksi tersebut.

Semalam akhirnya skuad negara cemerlang membelasah Bhutan 7-0. Kemenangan ini boleh di jadikan titik permulaan kebangkitan Harimau Malaya di bawah pengendali baru.

4. ‘Cleensheet’ Pertama Skuad Kebangsaan

Dalam kemarau kemenangan yang di lalui skuad negara, setiap perlawanan yang di harungi pasti berakhir dengan skuad negara bolos.

Kemenangan semalam lebih lengkap rasanya apabila barisan pertahanan skuad negara cemerlang tidak melepaskan sebarang jaringan.

Bhutan Idam Kejutkan Harimau Malaya

Ketua jurulatih Bhutan, Trevor James Morgan mengharapkan anak buahnya mampu mencipta kejutan dalam perlawanan persahabatan bertemu skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini lapor Berita Harian!

Biarpun beliau membawa pemain yang kurang ‘standard’ berbanding Malaysia, beliau tetap mahu barisan pemainnya beraksi dengan baik.

Beberapa akhbar sukan memberitahu skuad Bhutan yang di bawa ke Malaysia ini di penuhi oleh lima orang pemain sekolah menengah, lima orang pemain universiti dan pemain pemain separuh professional yang bekerja di bawah kerajaan dan swasta.

Bagi Trever James Morgan, perlawanan menentang Malaysia ini mahu di jadikan medan untuk menguji sejauh mana keupayaan para pemainnya.

Skuad negara sudah tentu mempunyai kelebihan di atas kertas kerana keseluruhan pemain negara adalah pemain profesional.

“Kami mahu fokus untuk meningkatkan prestasi semasa semua pemain kerana ini adalah peluang terbaik berbuat demikian. Untuk menjadi yang terbaik, kami perlu menentang pasukan yang lebih baik seperti Malaysia.

“Malaysia mempunyai kombinasi pemain muda dan senior yang baik dan sudah pasti akan memberi kesukaran kepada kami.

“Namun, pemain saya sudah bekerja keras sepanjang latihan dan kami akan cuba memberi tentangan sengit pada perlawanan esok (hari ini),” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sumber – Berita Harian

Cheng Hoe Hanya Mahukan Kemenangan

Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe berkata tugas menjaringkan bukan sekadar terletak di bahu barisan serangan, sebaliknya pemain pemain lain juga wajar mengambil peluang ketika bertemu Bhutan hari ini.

Memberitahu Berita Harian, Cheng Hoe mahu barisan pemainnya untuk sentiasa tenang di atas padang dan tidak menyerang sehingga terlupa kepada aspek bertahan. Situasi yang berlaku ketika bertemu Mongolia telah di jadikan iktibar oleh beliau.

Jentera skuad negara di ketuai oleh ketua pasukan, Zaquan Adha dan pemain tersebut sedaya upaya untuk cuba merobek gawang Lubnan tempoh hari namun gagal.

“Sandaran menjaringkan gol tidak boleh diletakkan kepada penyerang semata-mata, barisan tengah juga perlu mencari peluang.

“Tidak cukup dengan hanya menguasai permainan kerana kami perlu menang. Kami tahu Bhutan akan bertahan habis-habisan, jadi kami perlu sabar apabila menyerang.

“Dalam bola sepak moden kita tidak boleh terlalu ghairah menyerang kerana kita mungkin terperangkap dengan serangan balas. Ini yang kita pelajari ketika menentang Mongolia,” katanya.

Tambah beliau lagi, beliau mengingatkan anak buahnya untuk tidak mengambil mudah cabaran yang di berikan Bhutan biarpun sedar pasukan tersebut berada di tangga 188 dunia.

Cheng Hoe tidak mahu terlalu memikirkan tentang memburu kemenangan besar sebaliknya beliau mahu ‘Harimau Malaya’ mencatat kemenangan. Skuad negara memburu kemenangan pertama sejak peringkat kumpulan Piala AFF 2016.

“Apa yang penting kita harapkan kemenangan. Bukan kemenangan besar kerana setiap perlawanan adalah berbeza. Jadi, saya harap pemain tidak memandang mudah terhadap kemampuan Bhutan.

“Kita dahagakan kemenangan kerana sudah lama kita tidak menang dalam perlawanan di peringkat antarabangsa. Saya harap pemain boleh teruskan momentum seperti ditunjukkan ketika berdepan Lubnan tempohari,” kata Cheng Hoe.

Sumber – Berita Harian

Harimau Malaya : Shahrul Saad Puji Irfan Zakaria

Tindakan Tan Cheng Hoe menggunakan kombinasi di bahagian pertahanan ternyata sedikit berkesan apabila gandingan Shahrul Saad dan Irfan Zakaria berjaya membentuk pertahanan ampuh.

Pemain Perak, Shahrul Saad memberitahu Berita Harian yang beliau begitu kagum dengan corak permainan yang di tampilkan pasangannya, Irfan Zakaria sejak pertahanan Kuala Lumpur itu beraksi di Piala Asia B23 lagi.

Shahrul mengakui beliau dan Irfan mempunyai keserasian untuk beraksi bersama walaupun mereka berdua baru pertama kali di gandingkan dalam peringkat antarabangsa.

“Saya bangga dengan cara Irfan bermain, bukan saja ketika menentang Lubnan tetapi ketika Kejuaraan Bawah 23 AFC,” kata Shahrul.

“Mudah untuk berkomunikasi dengannya dan saya rasa kami serasi bersama.

“Kami mampu bermain sebagai satu pasukan walaupun jarang beraksi bersama, kami membantu satu sama lain di atas padang. Penting untuk memberikan komitmen penuh di atas padang dan itulah yang semua pemain lakukan.”

Dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut tempoh hari, anak buah Cheng Hoe cemerlang mengekang Lubnan daripada mudah merobek gawang mereka.

Shahrul juga mengharapkan rakan sepasukan mampu mengulangi corak permainan sama dan menyasarkan kemenangan ke atas Bhutan dalam usaha untuk memperbaiki ranking skuad negara.

“Kami perlu menang ke atas Bhutan dan mengekalkan tahap permainan yang ditunjukkan ketika menentang Lubnan,” kata Shahrul yang mengumpul kap ke-13 ketika di Beirut.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berkata persembahan pasukan ketika di Beirut meningkatkan keyakinan pemain.

“Cara kami bermain menentang Lubnan memberi keyakinan baharu buat kami untuk menang ke atas Bhutan,” kata penjaga gol Kelantan itu.

“Kami kini perlu memastikan yang momentum itu dibawa ke perlawanan seterusnya, menurut arahan jurulatih dan memberikan harapan baharu kepada penyokong.”

Sumber – Berita Harian

Harimau Malaya : Zaquan Yakin Dengan Rakan Sepasukan

Ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak berkata sekiranya skuad negara dapat mengulangi permainan sewaktu menentang Lubnan tempoh hari, skuad negara mampu menewaskan Bhutan lapor Berita Harian!

Dalam perlawanan menentang Lubnan pada pertengahan minggu lalu, anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menyekat skuad Lubnan daripada mencatat kemenangan mudah ke atas mereka.

Skuad bimbingan Cheng Hoe terpaksa akur dengan kekuatan lawan yang berjaya mencuri jaringan kemenangan pada lewat permainan.

“Kami menanam mentaliti untuk menang sebelum bertemu Lubnan, jadi itulah yang membuatkan semangat pemain tinggi namun tuah tidak menyebelahi kami. Kami akan teruskan momentum ini dan memperbaiki lagi kelemahan yang ada.

“Saya percaya jika kami mengekalkan prestasi sama ketika menentang Lubnan, tidak mustahil kami meraih kemenangan ke atas Bhutan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah penyerang Kuala Lumpur ini lagi, beliau memuji rakan sepasukan beliau yang berjaya mencipta keserasian antara mereka dengan pantas walaupun berdepan kekangan masa.

Pada Jumaat lepas, seramai sembilan pemain baru di bawa masuk Cheng Hoe untuk menggantikan seramai 14 orang pemain atas sebab penggiliran pemain.

Skuad negara yang berada di tangga 178 dunia kini memburu kemenangan ke atas Bhutan yang menduduki tangga ke 188 untuk sedikit sebanyak memperbaiki kedudukan ranking.

Lebih lebih lagi, ‘Harimau Malaya’ memburu kemenangan pertama dalam perlawanan antarabangsa sejak memperolehinya ketika menumpaskan Kemboja 3-2 dalam saingan Piala AFF 2016.

“Walaupun hanya sempat berlatih dua hari, pemain berjaya menyesuaikan diri dan memberi tentangan kepada Lubnan.

“Sebenarnya, tidak mudah berlatih dalam masa singkat dan kemudiannya bertemu lawan yang sukar di tempat mereka. Jadi, saya sanjung semangat perjuangan rakan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Harimau Malaya : Cheng Hoe Guna Pemain Sedia Ada

Skuad negara akan mengekalkan barisan pemain yang beraksi pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan bagi pertemuan persahabatan menentang pasukan Bhutan.

Memberitahu Berita Harian, ketua jurulatih ‘Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kekurangan masa membentuk skuad baru. Lebih lebih lagi, para pemain sudah menunjukkan satu kualiti permainan yang bagus dalam perlawanan lalu.

Barisan pemain yang tidak beraksi dalam aksi dengan Lubnan berkemungkinan akan di turunkan oleh Cheng Hoe dalam pertemuan kali ini.

“Setakat ini, kita berdepan kekangan masa yang singkat untuk aksi bertemu Bhutan jadi saya tidak akan memanggil mana-mana pemain memandangkan barisan kejurulatihan berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

“Kita juga perlu memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi menentang Lubnan dan berkemungkinan mereka akan diturunkan untuk perlawanan bertemu Bhutan. Tetapi kita perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai tahap kecergasan dan kecederaan setiap pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Walaupun baru pulang dari Lubnan, tetapi kita tidak akan berehat kerana esok (hari ini) kita akan kembali menjalani latihan ringan memandangkan aksi persahabatan ini adalah begitu penting,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas mengenai prestasi skuad negara, Cheng Hoe berkata beliau sangat berpuas hati dengan permainan yang di pamerkan barisan anak buahnya ketika ini.

Aksi bertemu Bhutan yang berada di tangga 188 ini penting bagi ‘Harimau Malaya’ untuk memperbaiki ranking mereka.

“Corak permainan menunjukkan perkembangan yang positif dan saya melihat keyakinan pemain juga kian meningkat. Jadi saya mengharapkan mereka dapat terus memberikan persembahan yang konsisten bukan sahaja untuk aksi menentang Bhutan tetapi untuk aksi antarabangsa yang seterusnya.

“Bagaimanapun, harus diingat bahawa kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Bhutan dan kita perlu bekerja keras untuk aksi persahabatan ini,” katanya.

Sumber – Berita Harian

FAM : Hamidin Bakal Beri Kata Putus Isnin Nanti

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu Berita Harian, segala kenyataan mengenai pencalonan beliau sebagai Presiden FAM akan beliau berikan pada hari Isnin minggu hadapan.

Bagi beliau, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk beliau memberikan sebarang maklum balas kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih lagi Presiden kerana FAM belum lagi memberi sebarang kata putus mengenai perletakan jawatan beliau.

“Tunggulah hari Isnin nanti,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Buat masa ini, Tunku Ismail masih lagi Presiden FAM jadi saya rasa tidak elok untuk saya mengulas mengenai pencalonan itu. Kita tunggu hari Isnin nanti.

“Sama ada peletakan jawatan Tunku Ismail diterima ataupun ditolak, kita tunggu bagaimana keputusan dalam Mesyuarat EXCO nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tunku Ismail mencipta kejutan apabila meletak jawatan selaku Presiden FAM pada hari Ahad lalu selepas setahun menerajui badan pentadbiran bolasepak Malaysia itu.

Selepas itu, Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan mencadangkan nama Datuk Haji Hamidin Bin Mohd Amin selaku Presiden baru FAM pada kongres yang di jadualkan Julai nanti.

Pemilihan Hamidin akan menjadi satu sejarah baru dalam pentadbiran FAM selepas beliau bakal menjadi presiden pertama bukan dari golongan raja atau ahli politik yang akan menerajui FAM sekiranya beliau sah di pilih sebagai presiden.

Sumber – Berita Harian