Piala FA : Raul Longhi Percaya Kemampuan Anak Buah

 

Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Raul Longhi memberitahu Berita Harian, para pemainnya sudah bersedia untuk aksi bertemu Pahang dalam saingan suku akhir Piala FA pada Jumaat ini.

Beliau berkata keseluruhan pemainnya berjaya memberi komitmen yang baik ketika sesi latihan dan yakin pemainnya mampu memberikan aksi terbaik.

Dalam perkembangan sama, Raul juga memberitahu bek kanan, S. Kunanlan berkemungkinan tidak dapat di turunkan kerana masalah kecederaan.

“Semua pemain JDT kini berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan telah memberi sepenuh komitmen terhadap latihan fizikal dan taktikal sepanjang tempoh rehat saingan Liga Malaysia.

“Hanya Kunanlan yang mungkin tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan di buku lali dan tahap kecergasan pemain itu dipantau oleh pegawai fisioterapi untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya.

“Sekiranya Kunanlan tidak dapat diturunkan, kami masih ada pemain gantian yang boleh mengisi posisi pertahanan kanan dan senario itu tidak menggusarkan saya kerana pemain simpanan memiliki kualiti setanding,” ujar beliau.

Walaubagaimanapun, beliau tetap merasakan kesukaran bertemu Pahang namun percaya pasukannya mampu memberi tentangan sengit kepada lawan.

Sasaran ‘Harimau Selatan’ ialah memberi aksi terbaik di laman lawan pada aksi pertama seterusnya mengekalkan momentum bagi aksi di laman sendiri nanti.

“Saya akui pertembungan dengan skuad kendalian Dollah Salleh tampak sukar kerana mereka pasti mahu menggunakan kesempatan beraksi di laman sediri tapi kami tetap bersedia untuk menang pada aksi itu dan harus memperagakan corak permainan bijak.

“Falsafah dalam JDT mengutamakan mentaliti positif dan sentiasa beraksi konsisten kerana ia penting untuk memburu kemenangan. Suku akhir dijalankan secara timbal balik dan kami perlu memberi lebih 100 peratus pada aksi pertama dan mengekalkan momentum pada baki 90 minit di Larkin selepas ini.

“Para pemain memahami perancangan formasi yang dibentuk dan mereka mampu mengubah mengikut kesesuaian rentak permainan dan keutamaan adalah memperagakan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan mudah,” tambah beliau.

Sumber – Berita Harian

 

 

Piala FA : Pahang Lawan Johor Tanpa Forkey Doe

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengesahkan sandaran utama mereka di barisan serangan, Forkey Doe tidak dapat di turunkan dalam pertemuan menentang Johor Darul Takzim (JDT) lapor Berita Harian!

Kedua dua pasukan bakal bertemu dalam saingan suku akhir pertama Piala FA pada Jumaat ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Penyerang Liberia itu sememangnya taruhan utama Pahang di barisan hadapan dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila menyumbat lima gol dalam lima perlawanan yang di lalui beliau.

Dollah mengakui kehilangan penyerang prolifik itu sememangnya mendatangkan kesan besar kepada barisan pemainnya.

Walaubagaimanapun, Dollah mahu barisan anak buahnya melupakan segera ketiadaan Forkey Doe dan meneruskan perjuangan untuk memberi kemenangan kepada ‘Tok Gajah’.

Bekas pemain Pahang itu juga mahu barisan pemain yang di beri kepercayaan untuk di turunkan mempamerkan persembahan terbaik dalam usaha mencari kemenangan.

Mengikut rekod, musim lalu kedua dua pasukan pernah bertemu dalam saingan sama namun kemenangan memihak ‘Tok Gajah’ menerusi agregat 4-3.

Dalam tiga perlawanan terakhir kedua dua pasukan, Pahang berjaya menang sekali sementara Johor Darul Takzim berjaya mencatat dua kemenangan.

“Tanpa Doe ia sememangnya memberi kesan di bahagian serangan. Tapi kami perlu teruskan perjuangan untuk memastikan misi meraih piala tercapai apabila berada pada tahap ini.

“Dengan barisan sedia ada saya harap pemain yang diberi amanah dapat menjalankan tanggungjawab untuk membantu pasukan mencatat kemenangan,” katanya.

Dengan ketiadaan Forkey Doe, seorang lagi tonggak import dari Brazil iaitu Patrick Cruz menjadi sandaran utama Pahang merobek gawang ‘Harimau Selatan’.

Patrick Cruz mencetak jaringan ketika aksi persahabatan bertemu Terengganu II yang di menangi Pahang 1-0 ketika rehat liga.

Sumber – Berita Harian

Afandi Sarankan Hamidin Di Beri Kemenangan Percuma

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah mengharapkan ‘kemenangan percuma’ di berikan kepada Datuk Haji Hamidin Mohd Amin untuk menjadi Presiden baru FAM lapor Berita Harian!

Setiausaha Agung FAM itu sudah berkhidmat bersama FAM sejak 2013 menggantikan Datuk Azzudin Ahmad yang berpindah menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF).

Hamidin memiliki pengalaman luas dalam pengurusan bolasepak apabila mula bekerja bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejak 1999.

Afandi juga tanpa berselindung menyokong penuh bekas rakan sekerja beliau itu dahulu. Mesyuarat khas pertama FAM bagi penggal 2017-2021 pada Isnin memutuskan nama Hamidin selaku calon Presiden baru FAM bagi Kongres pada Julai nanti.

Lebih meyakinkan, bekas Presiden FAM iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesyorkan nama Hamidin selaku Presiden baru FAM pada minggu lalu.

Beliau juga mengharapkan tidak ada calon lain yang cuba untuk menentang Hamidin dalam perebutan kerusi panas bolasepak Malaysia itu. Keputusan itu akan lebih mengharmonikan suasana FAM.

“Saya mengenali Hamidin secara peribadi dan sudah tentu saya bersetuju menyatakan Hamidin sememangnya layak untuk menjadi presiden. Dengan pengalamannya yang luas selaku pentadbir, ini membuktikan beliau memiliki kemampuan untuk menjadi pemimpin.

“Malah hubungan baiknya dengan persatuan sukan dalam dan luar negara juga dilihat mampu meneruskan perancangan yang sudah disusun.

“Tunku Ismail sendiri yang mencalonkan namanya jadi sudah tentu beliau (Tunku Ismail) percaya dengan kredibilitinya.

“Justeru saya melihat lebih baik sekiranya tiada persaingan untuk merebut jawatan presiden pada kongres nanti.

“Exco perlu merealisasikan hasrat Tunku Ismail yang mahukan Hamidin supaya menjadi Presiden FAM yang baharu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian!

Sumber – Berita Harian

Piala FA : Shuko Tekad Halang PKNP Mara

Ketua pasukan Felda United, Shukor Adan memberitahu Berita Harian, beliau dan rakan rakan sepasukannya akan cuba menyekat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) daripada merobek gawang mereka.

Kedua dua pasukan akan bertemu dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu nanti.

Bagi pemain yang berpengalaman ini, PKNP bukanlah satu lawan yang mudah kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri dan menghalang skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim daripada menjaringkan gol.

“Fokus utama kami di tempat lawan adalah tidak membenarkan PKNP menjaringkan gol sebagai bekalan pada suku akhir kedua di Jengka nanti.

“Ini kerana PKNP bukannya pasukan yang mudah ditewaskan kerana mereka sudah pasti semakin matang apabila beraksi dalam Liga Super musim ini.

“Berada pada tahap ini memerlukan komitmen tinggi dan kami perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada suku akhir pertama,” jelas pertahanan berpengalaman itu.

Bagi beliau, beraksi di laman lawan akan memberi kelebihan kepada PKNP namun Shukor akan sedaya upaya menghalang pasukannya dari tewas.

Shukor mahu ‘The Fighters’ melangkah lebih jauh musim ini dalam saingan Piala FA selepas beberapa musim sebelum ini mereka gagal mara lebih jauh.

“Beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada PKNP dan tidak boleh pulang dengan kekalahan jika mahu meneruskan misi ke separuh akhir.

“Musim ini, kami tidak boleh lagi terlepas peluang dan sekadar berada di suku akhir kerana kami mampu meraih pencapaian lebih bagus,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Bukti Perpaduan Dalam FAM

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi memberitahu Berita Harian kelancaran dalam membuat keputusan mengenai masa depan persatuan itu membuktikan tiada perebutan kuasa antara mereka.

Semua ahli exco FAM memberi sokongan penuh kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin untuk di calonkan sebagai Presiden baru FAM.

Pemilihan Presiden baru akan berlangsung pada Julai nanti dan bermula semalam, borang pencalonan Presiden FAM sudah mula di edarkan.

Yusoff pula di lantik menjadi pemangku Presiden FAM sementara menunggu Kongres yang bakal berlangsung Julai nanti.

Bagi Yusoff, walaupun beliau mengakui jawatan Presiden menjadi idaman beliau, namun atas sebab memajukan bolasepak tempatan, beliau menolak agenda sendiri demi memastikan orang lebih layak untuk berada di sana.

“Saya berharap dengan keputusan sebulat suara daripada semua ahli Exco tadi memberi isyarat jelas bahawa kita mahu proses peralihan ini berjalan lancar tanpa apa-apa kemelut. Mana-mana calon lain (jawatan presiden), bukan tak boleh bertanding tapi lebih baik fikir mengenai kesan kepada bola sepak negara.

“Kalau nak difikirkan, Subahan dan saya pun nak (jadi presiden), kami dah dekat dengan jawatan itu. Tapi kami tolak agenda peribadi bagi memastikan kita terus fokus kepada agenda pembangunan bola sepak serta memastikan keharmonian dalam FAM,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco.

Mengulas mengenai jawatan pemangku yang beliau pegang ketika ini, Yusoff berkata beliau akan meneruskan segala perancangan yang telah di rancang untuk pengurusan.

“Kita cuma ada lebih kurang tiga bulan, ia tempoh yang agak singkat. Kita cuma mahukan segala agenda yang ada diteruskan di samping mengekalkan perpaduan dalam persatuan ini,” kata Yusoff.

Sumber – Berita Harian

Liga Super : Nazliazmi Dan Rusdi Suparman Bergabung Kendalikan Selangor

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat keputusan menaikkan ‘pangkat’ Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir sebagai ketua jurulatih baru ‘The Red Giants’.

Perkara itu di sahkan oleh pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad ketika di hubungi Berita Harian.

Dalam perkembangan sama, lagenda bolasepak Selangor yang berjaya membantu mereka menjulang Piala Malaysia semasa zamannya, Rusdi Suparman di lantik sebagai pembantu jurulatih.

Nazliazmi menggantikan P. Maniam yang ‘di rehatkan’ bermula beberapa minggu lalu dan mula mendapat kepercayaan pengurusan apabila berjaya membawa Selangor layak ke suku akhir Piala FA selepas menumpaskan Terengganu 3-1.

Kedua dua mereka pernah bergabung tenaga sewaktu membimbing pasukan Piala Presiden Selangor.

“Kami membuat keputusan untuk melantik Nazliazmi kerana beliau menunjukkan keserasian bersama pemain ketika menjadi jurulatih sementara. Kita boleh lihat perubahan daripada segi taktikal, semangat serta beliau mempunyai karakter.

“Saya fikir tidak ada masalah untuk Rusdi menjadi penolong jurulatih kepada Nazliazmi memandangkan mereka pernah bekerjasama ketika membimbing skuad Piala Presiden Selangor. Nazliazmi dan Rusdi masih muda, pernah bersama Selangor, anak jati Selangor, jadi kita berharap elemen ini akan melonjakkan lagi pasukan Selangor,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Rusdi Suparman yang merupakan bekas jurulatih skuad muda negara hanya akan menandatangani kontrak bersama Selangor pada 7 April nanti kerana atas isu teknikal.

Beliau ketika ini masih menjadi penolong jurulatih Kuantan Macrerra dan selepas tarikh beliau tidak di bayar gaji cukup tiga bulan, barulah beliau akan bersama Selangor.

“Rusdi ada masalah pembayaran gaji dengan Kuantan FA, tapi selepas 7 April ini, akan genap tiga bulan beliau tidak menerima gaji maka mengikut peraturan, beliau bebas untuk menandatangani kontrak dengan pasukan lain,” jelas Rauf.

Sumber – Berita Harian

Subahan Sokong Penuh Yusoff Dan Hamidin

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu Berita Harian beliau memberi sokongan penuh kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin untuk mengisi jawatan Presiden.

Beliau yang juga Presiden Bolasepak Selangor (FAS) percaya dengan kemampuan Hamidin untuk mengendalikan FAM selepas pengalaman luas yang di miliki beliau.

“Saya sebagai Presiden FAS, memang percaya Hamidin adalah calon terbaik. Ia satu penghormatan apabila TMJ memilih Hamidin sebagai pengganti. Beliau tahu selok belok bola sepak Malaysia, tak ada orang lain selain Hamidin,” jelas Subahan pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM semalam.

Beliau dalam masa sama tampil menutup spekulasi menyatakan beliau juga berminat untuk menjadi pemangku Presiden FAM sehingga kongres pada Julai nanti.

Subahan sebaliknya menyokong Datuk Wira Yusoff Mahadi untuk memegang jawatan tersebut kerana beliau sendiri mengakui tidak mampu untuk menjadi pemangku selepas beliau juga banyak komitmen lain seperti menjadi Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM).

Pencalonan Presiden baru FAM dibuka secara rasmi hari ini sehingga tarikh tutup pada 11 Mei sebelum pelantikan dibuat pada Kongres FAM, 14 Julai depan.

“Tahniah kepada Yusoff, saya sebagai timbalan presiden dan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor memang menyokong penuh beliau menjadi pemangku presiden sehingga pemilihan pada Kongres FAM 14 Julai ini.

“Ini kerana beliau lebih layak walaupun ada yang menyatakan sepatutnya, itu… dan ini… (Subahan dipilih) tapi sebenarnya tak timbul masalah.

“Saya sendiri pun kalau diberi peluang tak sanggup kerana selaku Presiden Persatuan Hoki Malaysia juga ada tanggung jawab lain yang perlu saya galas dan bagi saya yang penting adalah muafakat, bukannya jawatan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Cheng Hoe Hadiahkan Kemenangan Kepada TMJ

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji persembahan yang di peragakan anak buahnya ketika mereka berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan apabila membenam cabaran Bhutan 7-0.

Selain itu, berkata kepada Berita Harian, Cheng Hoe mendedikasikan kemenangan bergaya itu kepada mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ)  Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagi beliau, kemenangan itu di anggap sebagai hadiah perpisahan untuk Tunku Ismail yang sah meletak jawatan sebagai Presiden FAM pada 25 Mac yang lalu.

Tunku Ismail di sahkan bukan lagi Presiden FAM selepas perletakan jawatan beliau di terima exco dalam mesyuarat khas pada Isnin.

“Satu pujian harus diberikan kepada barisan pemain dan jurulatih atas kemenangan ini. Kami memang dahagakan kemenangan dan kita boleh lihat pemain berjuang habis-habisan sejak minit pertama hingga tamat perlawanan.

“Tahniah kepada semua kerana tamatkan badi 12 perlawanan tanpa menang dan kemenangan ini juga satu hadiah buat Tunku Ismail kerana sentiasa memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan mencipta kemenangan pertama sejak November 2016 itu, Cheng Hoe tetap merasakan ada beberapa aspek yang masih lagi perlu di perbaiki skuadnya.

Penilaian pemain juga akan sentiasa di lakukan oleh Cheng Hoe bagi memastikan kualiti yang di miliki skuad negara lebih baik.

“Kami masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan termasuk menajamkan lagi penyudah dan memperkemaskan benteng pertahanan kerana kami perlu juga perlawanan menentang pasukan yang lebih kuat selepas ini.

“Buat sementara waktu, kami akan meneruskan pemantauan bagi menilai sama ada akan mengekalkan pemain sekarang atau memanggil pemain lain bagi memperkuatkan pasukan kerana dan akan mengatur perlawanan persahabatan pada Julai nanti,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Kim Swee Mahu Sasaran Realistik Untuk Malaysia B23

Ketua jurulatih Malaysia B23, Datuk Ong Kim Swee mahu pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat sasaran yang realistik untuk skuad bimbingan beliau itu.

Memberitahu Berita Harian, beliau menegaskan sasaran realistik perlu di buat bagi saingan Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia pertengahan tahun ini.

Bagi beliau, sasaran perlu jelas sama ada pihak pengurusan mahukan skuad terbaik di gunakan atau menampilkan barisan muda untuk pendedahan bagi kelayakan Kejohanan AFC pada tahun hadapan.

“Kita seharusnya realisitik kerana jika kita menghantar pasukan terbaik, sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dan mara ke peringkat suku akhir.

“Tetapi jika kita tidak mampu mendapatkan pemain terbaik, kita perlu mempertimbangkan sasarannya kerana kita akan memberi pendedahan kepada pemain berusia 21 dan 22 tahun sebagai persediaan untuk mengharungi pusingan Kelayakan B-23 pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut mengenai perancangan semasa Malaysia B23, Kim Swee berkata skuad muda negara bakal menyertai kejohanan jemputan PSSI di Indonesia.

“Selepas ini, kita akan terbabit dengan kejohanan jemputan PSSI yang akan bermula pada 28 April ini. Kita akan mula berlatih pada 20 April dan itu adalah pelan jangka masa pendek kita buat masa ini.

“Kemudiannya, kita akan melakukan persiapan untuk ke Sukan Asia,” katanya.

Kim Swee turut mahu mencurahkan segala pengalaman beliau menimba ilmu bersama Atletico Madrid ketika membimbing skuad muda negara.

“Ilmu dapat diserap tanpa mengira dari mana ia datang. Apa yang penting adalah kita tahu sama ada boleh atau tidak kita menggunakan corak yang sama di Atletico Madrid dengan set pemain yang kita ada buat masa ini.

“Apa yang baik, saya akan bawa bersama namun apa yang saya fikir belum lagi bersedia untuk diterapkan kepada pemain, saya akan tunggu pada masa yang lebih sesuai,” katanya lagi.

Sumber – Berita Harian

FAM Terima Perletakan Jawatan TMJ

Semua Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini sebulat suara menerima surat perletakan jawatan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.

Keputusan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM Bagi Penggal 2017-2021 yang berlangsung petang tadi di Wisma FAM di Kelana Jaya.

Dalam mesyuarat itu, Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Wira Yusoff Mahadi turut di berikan tugas selaku pemangku Presiden FAM bagi satu tempoh sehingga sehingga pemilihan baru pada Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United sememangnya dari awal lagi sudah di jangka akan mengisi jawatan tersebut selepas Tunku Ismail mencadangkan nama beliau sebelum ini.

Tunku Ismail membuat keputusan mengejutkan apabila meletak jawatan selaku Presiden FAM dalam Kongres Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berlangsung di Johor Bharu minggu lalu.

Perkembangan lain menyaksikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin secara sahnya mengumumkan beliau bakal bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada kongres Julai nanti.

Hamidin juga nama yang di cadangkan oleh Tunku Ismail untuk memegang jawatan Presiden selepas mengambil kira pengalaman luas beliau dalam pengurusan FAM.

Keputusan Hamidin juga mendapat sokongan penuh ahli exco FAM.