Pemain Perlis Terpaksa Kerja Nelayan

KANGAR 15 Jan. – Ibarat digantung tidak bertali.

Begitu nasib dialami oleh 18 orang pemain Singa Utara yang mendakwa masih belum menerima tunggakan gaji liga musim lepas dan gaji liga musim 2019 seperti dijanjikan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar, cuci kereta dan berniaga kecil-kecilan.

Kesemua mereka berusia 26 hingga 30 tahun itu sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan.

Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Malam tadi, kesabaran mereka sampai ke penghujungnya apabila tampil mengadakan sidang akhbar bagi menuntut penjelasan pihak pengurusan dan hak mereka, meskipun menyedari risiko yang bakal dihadapi.

Seramai 11 orang daripada mereka hadir, manakala bakinya berada di luar negeri ini.

Berdasarkan kontrak, tunggakan itu akan dibayar bersama gaji pada 7 Januari lalu secara berperingkat-peringkat.

Wakil kumpulan pemain itu, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, berkata, kesemua mereka sebelum ini telah menandatangani kontrak mewakili Perlis Northern Lions 2, berkuat kuasa 1 Disember lalu.

“Situasi itu yang menyebabkan para pemain kini dalam dilema kerana tidak boleh bermain dengan pasukan lain, manakala untuk terus kekal dalam pasukan pula, gaji tidak dibayar.

“Lebih menyedihkan, dikatakan kini terdapat pasukan lain yang sudah menggantikan kami untuk mewakili Perlis Northern Lions 2,” katanya ketika ditemui.

Fahmi Izzarin memberitahu, para pemain dikehendaki menjalani latihan di ibu negara yang bermula 2 Januari lalu.

Katanya, mereka walau bagaimanapun tidak dapat hadir kerana ketiadaan wang untuk menampung kos perjalanan dan penginapan.

“Pihak pengurusan tidak menyediakan pengangkutan dan penginapan, minta pendahuluan pun tidak dilayan, jadi bagaimana kami hendak turun berlatih,” katanya.

Kata Fahmi Izzarin, pemain sudah banyak kali merujuk perkara itu kepada pihak atasan PFA, tetapi Presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan ia akan diselesaikan pengurusan.

“Daripada satu tarikh ke satu tarikh, kini sampai bila lagi kami perlu menunggu.

“Mengikut kontrak, tunggakan gaji dan gaji musim baharu akan dibayar pada 27hb sehingga 7hb setiap bulan, tetapi sampai sekarang masih belum dapat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Pahang Tak Terasa Hati

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala FA, Pahang tidak terkilan sekiranya bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi tidak memilih skuad Tok Gajah untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain itu yang sebelum ini dikatakan hampir pasti menyertai Pahang, mencetuskan tanda tanya selepas dia memuat naik gambarnya bersama pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial, Instastory miliknya semalam.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya tidak boleh menghalang keputusan daripada pemain itu walaupun mengakui pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan pemain kelahiran Kosovo itu sebelum ini.

“Walaupun ada perbincangan secara lisan, terpulang kepada pemain itu. Kalau dia buat keputusan untuk bermain dengan kelab lain, kami tak boleh buat apa-apa sebab itu pilihan pemain.

“Kalau dia sudah rasmi menyertai kelab lain, mungkin peminat tidak lagi menaruh harapan dan kita doakan supaya dia berjaya,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, di sini, hari ini.

“Tugas kami adalah untuk melihat ke depan dan mencari pemain setanding dia atau lebih baik lagi. Malah, saya juga percaya dengan taktikal dan pengalaman jurulatih Dollah Salleh dalam membuat pilihan pemain.”

Sekiranya pemain berusia 27 tahun itu sah menyertai JDT, dia mungkin akan disenaraikan dalam skuad JDT II selepas juara Liga Super itu sebelum ini mengesahkan sudah melengkapkan kuota lima pemain import.

Malah, pemain yang lebih dikenali sebagai Mat Don itu juga mempunyai peluang cerah untuk diserap sebagai pemain naturalisasi kedua negara sekiranya dia melengkapkan lima tahun berkasi di Liga M, selepas empat musim bersama Kedah.

Sementara itu, Dollah berkata beliau sudah mempunyai beberapa calon pemain import lain untuk dijadikan taruhan buat skuad Tok Gajah musim ini.

“Anda pun dah tahu, media semalam dah siar, kita dapat tahu bahawa Mat Don akan pergi ke JDT, itu yang saya tahu setakat ini. Kita bukan tiada calon, kita masih ada lagi beberapa pemain dalam perhatian.

“Cuma kita ada agak lewat kerana berdepan beberapa kekangan termasuk daripada segi menguruskan visa pemain. Tapi kita sedang berusaha untuk selesaikan secepat mungkin dan pastikan sebelum bermula liga, kita dapat pemain itu,” katanya.

(Highlight Penuh) Terengganu Jinakkan Kelab Vietnam Binh Duong 3-2

KUALA TERENGGANU: Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) akan ‘berkampung’ selama lima hari di Vietnam bagi mengharungi aksi persahabatan pramusim menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) Februari ini.

Pengendali skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu, Irfan Bakti Abu Salim mahu menjadikan aksi menentang kelab utama liga Vietnam sebagai ujian sebenar barisan pemainnya.

“Pada aksi itu nanti, kita akan menilai sejauh mana kekuatan sebenar pasukan, termasuk kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bermulanya liga yang semakin hampir.

“Kami juga akan menitikberatkan berkaitan keserasian pemain, biarpun sebahagian besarnya adalah pemain yang sama pada musim lalu,” katanya kepada Sukan NSTP.

Musim lalu, barisan pemain skuad Penyu itu mengasah ‘taji’ di Kemboja, selain beberapa siri perlawanan persahabatan di tempat sendiri serta di Lembah Klang.

Semua pemain termasuk lima tonggak import iaitu Sanjar Shaakhmedov, Lee Tuck, Thierry Chantha Bin, Igor Zonjic dan kapten, Kipre Tchetche akan menyertai skuad Penyu dalam aksi persahabatan kali ini.

“Kami akan bertolak ke Vietnam pada 13 Januari ini. Aksi pertama bertemu kelab Binh Doung FC sehari selepas itu, diikuti kelab Troung Giang FC pada 16 Januari, sebelum aksi terakhir bertemu kelab Than Quang Ninh FC.

“Kami harap pemain mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin dan bukannya ‘makan angin’ dalam misi memantapkan lagi corak permainan pasukan.

“Kami mahu menjayakan misi menjulang trofi musim ini selepas gagal melakukannya musim lalu,” ujar Irfan Bakti.

 

Messi Sebenarnya Berasal Dari Planet Lain

MADRID: Lionel Messi meledak gol peribadi ke-400 dalam saingan La Liga, ketika Barcelona membenam Eibar 3-0, untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga dengan kelebihan lima mata, awal pagi tadi.

Jumlah jaringan menakjubkan Messi ini disifatkan pengendali Barca, Ernesto Valverde sebagai pencapaian yang terlalu hebat.

“Ia memang luar biasa,” kata Valverde selepas pasukannya menang dengan tiga jaringan. “Memang mudah untuk memperkatakan pencapaian itu, tetapi anda perlu sentiasa menjarigkan gol, ia mengambil masa yang lama,”

“Rekod itu berada di kelas tersendiri, sukar dipercayai. Dia (Messi) datang dari galaksi lain,”

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Valverde kini melebarkan kelebihan ke atas Atletico Madrid, yang sebelum itu mengurangkan jurang kepada dua mata, selepas menumpaskan Levante dalam perlawanan awal.

“Perjalanan masih jauh,” kata Valverde said. “Ia satu kedudukan yang agak baik, tetapi perjuangan kami masih belum selesai,”

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde melihat perlawanan di bangku simpanan semasa pasukan bimbingannya menentang SD Eibar pada saingan La Liga, awal pagi tadi. – Foto EPA
Real Madrid juga menang ke atas Real Betis, – sekaligus memastikan tiga kelab utama Sepanyol itu menang serentak buat kali keempat sepanjang musim ini. Namun, Real kekal ketinggalan 10 mata di belakang Barca.

Messi, yang mencetak nama selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman, kini mendahului senarai dengan kelebihan 89 gol mengatasi Cristiano Ronaldo.

Ronaldo, yang kini bersama Juventus memiliki jumlah purata gol lebih baik, apabila meledak 311 gol dalam 292 perlawanan. Messi pula beraksi dalam penampilan ke-435.

Pada usia 31, kapten Barcelona itu dikatakan mampu merekodkan 500 gol, tetapi jumlah itu masih terlalu jauh untuk dicapai. Dia kini sudah mengharungi 17 perlawanan liga musim ini dan mampu muncul selaku penjaring terbaik buat kali keenam.

Hakikatnya, pencapaian Messi pada awal pagi tadi agak merosot jika dibandingkan dengan aksi cemerlang Suarez atau Philippe Coutinho yang lebih layak mendapat pujian.

Suarez mencipta bantuan gol untuk Messi, dan dia sendiri menampilkan aksi penyudah yang cukup menarik dengan meledak dua gol

Coutinho juga terbabit dalam jaringan itu dan banyak mencetuskan impak besar ketika memastikan kemenangan Barca – sekaligus mengenepikan isu mengenai masa depannya di kelab berkenaan. – AFP

(Video Penuh) Kedah Tewaskan Perak 2-0, Padu Tandukan Syahrul Azwari

KEDAH muncul juara sulung Unity Shield yang diperkenalkan bermula 2019 selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Pada babak pertama, Perak mengatur serangan pantas sebaik wisel permulaan dibunyikan bagi mencari gol awal.

Namun Kedah berjaya mematahkan serangan pasukan pelawat di samping berusaha untuk menyeimbangkan perlawanan sebelum keputusan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun Jaringan Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-67 berjaya meletakkan tuan rumah terlebih dahulu 1-0 di hadapan.

Lang Merah seterusnya mengukuhkan cengkaman kepada 2-0 pada minit ke-75 menerusi tandukan pemain yang baru dimasukkan, Syahrul Azwari Ibrahim hasil hantaran menarik Rizal Ghazali.

The Bos Gaurus cuba bangkit untuk merapatkan jurang pada baki15 minit terakhir namun keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.

Perlawanan ini adalah ilham Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi menyatukan dua gergasi utara iaitu Kedah dan Perak dan ia akan berlangsung secara tahunan dengan giliran venue antara Alor Setar dan Ipoh.

(Video Penuh) JDT Benam Juara Asia Tenggara Home United 5-0

Video dibawah

JOHOR BAHRU: Akhyar Rashid yang masih dipalit kontroversi, membuat penampilan pertama bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila diturunkan pada babak kedua aksi persahabatan menentang kelab dari Liga Singapura (Liga S), Home United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Malah Akhyar turut membantu skuad Harimau Selatan mencipta kemenangan besar 5-0 menewaskan naib juara Zon ASEAN, Piala AFC musim lalu apabila membuat dua umpanan menarik kepada Hazwan Bakri pada minit ke-51 dan membantu Safawi Rasid menjaringkan gol pada minit ke-81 buat skuad bimbingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora.

Ternyata kemelut dicipta Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang ingin membawa kes berhubung kontrak Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) langsung tidak dipedulikan pemain muda itu,sebaliknya dia beraksi konsisten dalam perlawanan dan berjaya memikat lebih 18,000 penyokong Harimau Selatan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, pemain kebangsaan Syazwan Andik yang sudah menjalani latihan bersama juara Liga Super lima musim berturut-turut sejak tiga hari lalu.

Pada aksi persahabatan kompetitif, gandingan Figueroa dan Mora yang terus diberi tanggungjawab oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membimbing pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara AFC menurunkan kelibat tiga pemain import baharu.

Dengan formasi 4-3-3 kelibat pemain import termahal Liga M, Diogo Santos yang dikhabarkan berpindah dari Buriram FC ke JDT dengan nilai perpindahan RM12 juta memperagakan aksi konsisten apabila berjaya membentuk persefahaman mantap bersama Gonzalo Cabrera dan pemain import baharu, Aaron Niguez.

Agak menarik apabila Nazmi Faiz Mansor yang diturunkan pada perlawanan itu menunjukkan kematangan tatkala beraksi di posisi tengah dengan kawalan bola menarik selain umpanan bola kepada rakan malah dia langsung tidak kekok mengemudi posisi tengah sambil dibantu Natxo Insa dan Hariss Harun.

Jika dilihat, Figueroa dan Mora sudah ada bayangan kesebelasan utama yang bakal membawa cabaran skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga M tatkala Mauricio dos Santos Nascimento yang menggantikan Marcos Antonio di posisi pertahanan beraksi dengan baik bersama Adam Nor Azlin sambil mengekalkan Corbin Ong dan Azril Nasrulhaq Badrul Hisham di posisi bek kiri dan kanan.

Sebelum membuka kempen Liga M menentang Perak pada perlawanan Piala Sumbangsih 2 Februari ini, JDT akan mengharungi tiga aksi persahabatan di Thailand menentang kelab Liga Thai, Ratchaburi Mitrphol FC, Bangkok United dan PTT Rayong bermula 17 Januari hingga 23 Januari ini.

[Video] Hantaran Maut Akhyar Rashid Untuk Gol Keempat JDT

Video dibawah

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Akhyar Rashid kini sah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Harimau Selatan mendaftarkan namanya dalam senarai pemain kepada pentadbir liga itu.

Perkembangan terbaru itu, sudah semestinya melegakan Akhyar selepas terpalit dengan kemelut perebutan antara bekas majikannya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan JDT, yang menyaksikan KFA bakal mengheret isu perpindahannya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, meskipun KFA enggan melepaskan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) atau kini dikenali dengan Surat Pelepasan, Akhyar tetap boleh didaftarkan sebagai pemain Harimau Selatan dengan menggunakan status ‘pelepasan sementara’ yang boleh dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, JDT antara pasukan terawal yang mendaftarkan senarai pemain pada 7 Januari lalu dan nama Akhyar dalam senarai menunggu selama 14 hari untuk mendapatkan Surat Pelepasan daripada KFA.

Bagaimanapun, menurutnya sekiranya tiada jawapan daripada skuad Helang Merah sepanjang tempoh itu, Akhyar boleh mendapatkan pelepasan sementara untuk membenarkannya beraksi secara sah bersama JDT untuk tempoh 90 hari sebelum menerima pelepasan kekal daripada FAM.

“Hari ini adalah hari terakhir untuk semua pasukan menyerahkan pendaftaran pemain yang pertama sebelum pendaftaran kedua pada penghujung bulan depan iaitu pada 20 Februari.

“JDT sudah menyerahkan (nama pemain) dan nama Akhyar Rashid memang ada.

Namun buat masa ini, Akhyar dalam senarai menunggu kerana masih tertinggal satu lagi dokumen iaitu surat pelepasan dari KFA.

“Sekiranya KFA tidak memberi surat pelepasan dalam tempoh 14 hari bermula 7 Januari lalu, Akhyar boleh mendapatkan pelepasan sementara daripada FAM bagi membolehkannya beraksi dalam liga dan ia peraturan sama seperti yang digunakan oleh FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Jadi, Akhyar tak ada masalah untuk bermain dan dia boleh diturunkan untuk aksi pertama JDT (Piala Sultan Ahmad Shah) menentang Perak pada 2 Februari ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil KFA di Pejabat MFL, di sini hari ini.

Mengulas mengenai perjumpaan dengan KFA hari ini, Kevin mengakui pertemuan berkenaan berjalan lancar dengan topik perbincangan terarah berkaitan perancangan operasi dan pengurusan liga selain turut menyentuh mengenai isu Akhyar.

“Pasal Akhyar juga kita ada bincangkan. Tapi tidak menyeluruh, cuma sekadar menerangkan perkara dan peraturan asas saja. Cuma kita tegaskan bahawa, isu membabitkan Akhyar ini tidak perlu hingga ke CAS, sebaliknya ada saluran lain iaitu melalui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

“Kalau KFA tetap nak bawa kes berkenaan kepada CAS itu terpulang kepada mereka. Sebagai rakan kongsi, apa juga tindakan KFA akan memberi gambaran dan imej kepada liga kita dan saya harap mereka akan meneliti perkara ini sebaik-baiknya sebelum bertindak,” katanya.

 

Senarai Penuh Pemain Kedah Untuk Musim 2019

Senarai Pemain Kedah 2019 Liga Super. Panduan buat peminat bolasepak Kedah FA 2019. Siapakah pemain baharu Kedah Liga Super Malaysia 2019? Menerusi makluman daripada portal FMLLP, perpindahan pemain Liga Malaysia 2019 untuk fasa pertama akan dibuka pada bulan November 2018. Musim lalu, pasukan Kedah kendalian Nidzam Adha berada di prestasi kurang memuaskan dimana skuad Helang Merah menamatkan di kedudukan ke-6 di belakang finalis Unifi Piala Malaysia 2018, Terengganu FC. Sudah pastinya jurulatih Kedah baharu akan mengambil langkah drastik untuk memperkuatkan skuad itu menjelang Liga Super 2019.

Senarai Pemain Kedah 2019 Liga Super Malaysia
Untuk musim 2018, skuad Kedah masih mengekalkan pemain import mereka iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva dan kemasukan beberapa import baharu antaranya Andik Vermansyah, Álvaro Silva, Pablo Pallares dan Paulo Rangel. Menurut gosip-gosip perpindahan pemain 2019, skuad The Red Eagles akan membawa masuk beberapa pemain import baharu di bahagian serangan dan pertahanan. Berikut adalah senarai pemain Kedah 2019 bagi menghadapi saingan Liga Super, Piala FA dan Unifi Piala Malaysia.

Senarai Pemain Kedah 2019 Liga Super Malaysia
Berikut dikongsikan adalah senarai pemain Kedah 2019 Liga Super mengikut posisi masing-masing :

PENJAGA GOL

● Ifwat Akmal

● Abdul Hadi Hamid

● Muhd Asri

● Ramadhan Hamid

PERTAHANAN

● Rizal Ghazali

● Khairul Helmi (C)

● Syawal Nordin

● Asri Mardzuki

● Syazwan Tajuddin

● Norfiqrie Talib

● Azmeer Yusof – BARU

● Shakir Hamzah (Pemain Import) – BARU

● Renan Alves (Pemain Import) – BARU

PEMAIN TENGAH

● Baddrol Baktiar

● Farhan Roslan

● Amirul Hisham Awang Kechik

● Hanif Dzahir

● Hidhir Idris – BARU

● Syahrul Azwari – BARU

● Shahrul Igwan – BARU

● Azammuddin Akil – BARU

● Fayadh – BARU

● Fadzrul Danel – BARU

● Anwar Almubaraki (Pemain Import) – BARU

PENYERANG

● N. Thanabalan – BARU

● Fernando Rodriguez (Pemain Import) – BARU

● Zaquan Adha – BARU

● Jonathan Bauman (Pemain Import) – BARU

 

(Video Penuh) Melaka United Bantai Warrior FC 5-1

MELAKA: Melaka United sedia menawarkan tempat kepada pemain pertahanan kebangsaan, Muhammad Syazwan Andik bagi mewakili skuad terbabit musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain meningkat naik itu berada dalam perancangan pasukan bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Katanya, Melaka United sedia memberinya peluang untuk meningkatkan corak permainan efektif dengan bergandingan bersama bekas kapten kebangsaan Safiq Rahim, Shukor Adan, Khairul Fahmi Che Mat dan Razman Roslan.

“MUSA juga sedia berbincang berkaitan gaji yang ditawarkan kepadanya sesuai dengan kebolehan dan prestasi semasanya.

“Malah kami yakin tawaran terbabit memuaskan untuknya selesa beraksi bersama Melaka United musim ini,” katanya.

Sebelum ini, Syazwan dikhabarkan turut mendapat perhatian dan tawaran beberapa pasukan yang berminat dengan sentuhannya bersama Kuala Lumpur dan skuad kebangsaan.

Sementara itu, Melaka United berjaya menewaskan kelab Warriors FC dari Singapura 5-1 pada aksi pra musim di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Gol pasukan terbabit dihasilkan menerusi sentuhan bekas penyerang FELCRA, Casagrande (dua gol) manakala masing-masing satu gol menerusi Deevan Raj, Luka Milunovic dan Nurshamil Abd Ghani.

 

10 Pemain Terkenal Yang Berpindah Dari Premier League Ke Liga China

Tidak boleh disangkal lagi bahawa China adalah destinasi yang menjadi pilihan buat para-para pemain yang termasyur di dunia, bukan sahaja mahu menimba pengalaman yang bernilai untuk beraksi di benua Asia, malahan dapat mengaut keuntungan dengan memperoleh gaji yang lumayan.

Ini adalah antara senarai-senarai pemain PL yang pernah dan sedang mewakili pasukan di China:

1. Oscar

(Chelsea → Shanghai SIPG)

Pemain tengah Brazil ini telah memeranjatkan ramai pihak kerana memutuskan untuk menjelajahi China seawal usia mudanya sewaktu 25 tahun dan sedang berada di dalam prestasi kemuncaknya bersama Chelsea dengan yuran perpindahan sebanyak £60 juta pada 2017.

Oscar adalah salah seorang pemain yang memperoleh gaji yang terbanyak di liga dan di dunia dengan jumlah kasarnya sebanyak £400,000-seminggu. Beliau memainkan peranan yang besar sewaktu Shanghai SIPG memenangi liga China pada musim lepas.

2. Odion Ighalo

(Watford → Changchun Yatai)

Penyerang Nigeria itu tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri di Watford setelah menyumbangkan 20 gol liga Championship sekaligus membantu Hornets naik pangkat ke divisyen pertama dan ditambah pula 15 gol pada musim sulungnya di PL.

Ighalo berpindah ke Changchun Yatai pada hari terakhir jendela perpindahan Januari 2017 dengan £20 juta dihabiskan oleh kelab tersebut. Belangnya juga masih ditunjukkan di sana dengan menjaringkan 36 gol daripada 55 perlawanan.

3. John Obi Mikel

(Chelsea → Tianjin TEDA)

Sebut saja nama Obi Mikel, cakaplah apa-apa piala pun, semua beliau sudah “sapu” bersama Chelsea selama 10 tahun di London. Meskipun sudah melakukan 374 penampilan buat The Blues, kelabnya itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengekalkannya lagi di PL dan melepaskannya pada musim 2016/2017.

Beliau sertai Tianjin TEDA secara percuma pada 6 Januari 2017. Walaupun gajinya yang diperoleh agak lumayan di sana, namun Mikel diberitakan mahu meninggalkan China selepas kontraknya hampir tamat dan Eropah bakal menjadi tempat yang bakal ditujunya.

4. Ramires 

(Chelsea → Jiangsu Suning)

Pemain yang bersifat agresif di atas padang ini menjadi seorang lagi pemain tengah Chelsea yang meneroka ke China dengan yuran £25 juta selepas dapat mengetahui bahawa dirinya tidak diperlukan lagi di Stamford Bridge sewaktu Guus Hiddink mengendalikan pasukan itu.

Beliau telah mencatat 71 penampilan dan menyumbat 17 gol sejak berada di Jiangsu Suning pada 2016. Walaupun sudah berkelana selama hampir 3 tahun di sana, sumbangan Ramires belum dapat dilihat lagi setelah gagal mendakap sebarang piala di sana.

5. Didier Drogba

(Chelsea → Shanghai Shenhua)

Tanpa Drogba, siapalah Chelsea pada hari ini. Penyerang yang menjadi idola para peminat The Blues ini dilepaskan pada 2012 selepas menunjukkan aksi berbisanya dengan 157 gol sewaktu karier luar biasa di England yang mungkin tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

Jangkaan untuk melihatnya mengganas semula di Asia tidak kesampaian, beliau hanya dapat diturunkan dalam 11 perlawanan dan mampu menjaringkan 8 gol sebelum merantau ke Turki bersama dengan Galatasaray pada tahun 2013.

6. Nicolas Anelka

(Chelsea → Shanghai Shenhua)

Anelka ditandatangani kelab yang berpangkalan di Shanghai itu pada 2012, mengikut jejak langkah rakan karibnya di Chelsea iaitu Drogba yang juga turut ke China bagi memperluaskan pengalamannya ke zon Asia. Secara ironinya, langkahnya itu tidak memberi sebarang impak positif di dalam karier penyerang berkelahiran Perancis itu.

Selepas 27 perlawanan, hanya 3 gol diraih di sana dan kemudiannya Anelka dipinjamkan ke Juventus buat sementara waktu sebelum pulang semula ke liga PL bersama West Bromwich Albion dan berhijrah secara tetap pada kempen 2013/2014.

 

7. Papiss Cisse

(Newcastle United → Shandong Luneng)

Papiss Cisse yang kita kenali dengan gol di luar dugaan ketika menentang Chelsea yang dianggap sebagai melawan arus fizik adalah seorang bintang sensasi Newcastle United sewaktu tahun 2012 walaupun dicemari dengan insiden penggantungan sebanyak 7 perlawanan pada 2015.

Beliau meninggalkan Magpies selepas gagal untuk kekal di PL dan menyertai Shandong Luneng ketika musim panas 2016 dengan harga yuran perpindahan yang dirahsiakan. Cisse hanya menamatkan kerjayanya di England hanya selama 4 tahun sahaja.

8. Paulinho

(Tottenham Hotspur → Guangzhou Evergrande)

Pembelian Paulinho adalah salah satu rekod perpindahan yang dibeli oleh Spurs pada Jun 2013 dengan £17 juta dilaburkan kepada Corinthians dari Brazil. Penghijrahannya ke PL selama 2 musim bukanlah satu perpindahan yang terbaik namun langkahnya ke China adalah satu titik permulaan yang baharu buatnya.

28 gol daripada 95 perlawanan bersama Guangzhou Evergrande menyaksikan beliau telah “menggoda” Barcelona sebelum mereka membayarnya sebanyak £36 juta untuk diterbangkan ke Sepanyol. Paulinho hanya menghabiskan masa di Nou Camp hanya semusim, sebelum pulang semula ke China baru-baru ini.

9. Graziano Pelle

(Southampton → Shandong Luneng)

Pelle adalah penyerang yang banyak berjasa buat Southampton terutamanya melayakkan diri ke peringkat Europa League dan menjejakkan kaki ke pentas suku akhir piala liga buat kali pertama sejak 10 tahun lalu pada tahun 2014. Beliau juga dinamakan sebagai pemain terbaik bagi bulan September hasil kecemerlangannya itu.

Jodohnya bersama dengan Ronald Koeman di Selatan England itu tidak berkekalan lama, beliau begitu ghairah untuk beraksi ke China dengan alasan sudah lama mahu beraksi bersama Shandong Luneng dan terpaksa dilepaskan ke sana dan menjadi 5 pemain yang termahal di dunia dalam soal pembayaran gaji.

Sumber : https://www.plmfootball.com/2019/01/10/9-pemain-terkenal-yang-berpindah-dari-premier-league-ke-liga-china